Format baharu Liga Juara-juara Eropah yang membenarkan penyertaan 36 pasukan mulai musim 2024 dijangka dimuktamadkan hujung Mac ini.

LONDON – Cadangan format baharu membabitkan 36 pasukan bersaing dalam Liga Juara-Juara Eropah yang akan diperkenalkan mulai musim 2024 dijangka dipersetujui pada hujung bulan ini.

Pengerusi Persatuan Kelab Bola Sepak Europa (ECA), Andrea Agnelli menjangkakan butiran akhir bagaimana empat slot tambahan akan diselesaikan dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Katanya, jika ECA dapat menyelesaikan perkara itu dalam masa beberapa minggu ini, Kesatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) akan meluluskan format itu.

Jika cadangan itu dapat direalisasikan, segala perbincangan mengenai pembentukan Liga Super Eropah (ESL) yang dirancang beberapa kelab elit Eropah akan berakhir.

Pada Perhimpunan Agunga ECA, Setiausaha Agung Uefa, Giorgio Marchetti berkata, konsep ESL itu bersifat pentingkan diri sendiri.

“Semangat persaudaraan dan bersatu padu yang cuba diteruskan dalam arena bola sepak Eropah akan pupus apabila idea buruk seperti Liga Super Eropah oleh kelab elit diketengahkan atas sifat kepentingan perniagaan dan keuntungan semata-mata tanpa semangat dan mutu kesukanan,’ katanya.

Cadangan menambah pasukan dalam Liga Juara-Juara Eropah mulai 2024 merupakan cetusan idea bekas penjaga gol Manchester United, Edwin van der Sar.

Berbanding format empat pasukan yang dibahagikan dalam lapan kumpulan dengan enam perlawanan untuk setiap pasukan yang dilaksanakan sehingga kini, semua 36 pasukan yang akan beraksi mengikut format baharu akan bermain dalam 10 perlawanan – MalaysiaGazette