Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar tiba pada majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Kementerian Pembangunan Usahawanan dan Koperasi (MEDEC) di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 10 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Golongan usahawan kecil dan sederhana yang menerima bantuan Tekun Nasional bakal mendapat perlindungan keselamatan sosial menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tunku Jaafar berkata, seramai 970,000 usahawan di seluruh negara bakal mendapat manfaat itu dalam masa terdekat.

“Itu baru usahawan, belum pekerja dia lagi, berapa banyak pekerja yang bekerja dengan mereka.

“Kadang-kala di pihak usahawan ini, bila dia terhenti disebabkan perkara tertentu, dan keluarganya tidak terjamin kehidupan.

“Di sini kita beri sedikit jaminan menerusi sumbangan daripada pihak Perkeso. Pihak tidak formal dan mikro ini adalah pihak yang perlukan bantuan,” katanya pada sidang media di Le Meridien Hotel, hari ini.

Terdahulu beliau dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan hadir dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Pembangunan Usahawan & Koperasi (MEDAC).

Dalam pada itu, Wan Junaidi mendedahkan seramai 1.26 juta usahawan tidak berdaftar dengan Perkeso sejak 2019 sekaligus mereka tiada jaminan keselamatan sosial jika terkesan dengan malapetaka termasuk Covid-19.

“Jangan berhentikan (ditimpa malapetaka) cuma mereka perlu berdaftar dengan Perkeso, jadi mudah kerajaan nak bantu mereka yang terjejas,” jelasnya lagi. – MalaysiaGazette