Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang tetap dengan pendirian untuk membawa pertikaian sumber air mentah yang dibangkitkan oleh  Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor ke mahkamah.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya akan mempertahankan hak sumber air mentah dari Sungai Muda memandangkan kawasan itu merupakan sempadan antara Pulau Pinang dengan Kedah.

“Isu penggunaan air mentah itu sudah berkali-kali dibangkitkan Muhammad Sanusi dan pendirian kerajaan negeri ialah berjumpa di mahkamah.

“Kita ambil air Sungai Muda itu di bahagian tanah negeri Pulau Pinang dan ini selari dengan undang-undang antarabangsa, yang mana kita mempunyai hak untuk mendapatkan air dari sungai di sempadan sendiri walaupun hulu sungai berada di negeri lain.

“Saya tidak ingin panjangkan isu ini dan akan mempertahankan hak negeri Pulau Pinang di mahkamah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan Pulau Pinang hanya layak menggunakan lima peratus air daripada sumber Sungai Muda, mengikut peruntukan dalam hak riparian yang mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, negeri itu pada masa ini bagaimanapun telah menggunakan 56 peratus air daripada sungai berkenaan, yang sumbernya adalah dari kawasan tadahan di Ulu Muda di Kedah, tanpa membuat sebarang bayaran kepada kerajaan negeri itu.

“Mengikut hak riparian, apabila sesuatu sungai mengalir di sempadan negara, negara itu hanya ada hak untuk guna sumber air mengikut keluasan kawasan tadahan air yang disumbangkan oleh negara itu untuk dijadikan lembangan sungai, misalnya kalau lima peratus, boleh guna lima peratus sahajalah.

“Kalau ambil kira pandangan ini kawasan tadahan bagi Sungai Muda yang dimiliki Pulau Pinang hanya lima peratus, maka hak penggunaan air Pulau Pinang sepatutnya adalah lima peratus sahaja,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Alor Setar. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Penjual air mentah rugi jual murah macam projek solar untuk Singapore dan Penang untung besar. DEB 30% ekonomi untuk majoriti pribumi Melayu memang dasar apartheid kaum minoriti bukan pribumi dapat 70% majoriti ekonomi.

  2. Pulau Pinang tu sendiri pun hak Kedah.. Kerajaan Persekutuan sepatutnya mengembalikan Pulau Pinang kepada Kedah.

Comments are closed.