ACP Mohamad Noor Yusof Ali menasihati kesemua 48 individu yang ditahan dalam Ops Sarang di IPD Kuantan.

KUANTAN – Dua penuntut kolej antara 48 individu yang dicekup dalam Ops Sarang 2021 yang tertumpu di sekitar Cherating, Beserah dan Gambang malam tadi hasil maklumat orang ramai.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kesemua yang ditahan merupakan warga tempatan berusia lingkungan 18 hingga 36 tahun terdiri daripada 40 lelaki dan lapan wanita.

Menurut beliau,  kesemua yang ditahan dalam operasi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan itu disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya.

“Mereka yang ditahan itu ada yang bekerja sendiri, tidak bekerja dan penuntut kolej.

“Siasatan awal mendapati mereka ini pernah mempunyai rekod kesalahan lampau.

“Mereka yang ditahan perlu membuat saringan covid-19 sebelum dimasukkan ke lokap,” katanya dalam sidang media berkaitan operasi yang berakhir 10 pagi tadi.

Ops Sarang 2021 melibatkan kekuatan dua pegawai dan 18 anggota itu juga berjaya merampas syabu dan 206 pil yaba. – MalaysiaGazette