Dua remaja yang berpakaian seragam sekolah didakwa di mahkamah kerana menghina sehingga mengganggu ketenteraman awam.

KOTA BHARU – Dua remaja lelaki yang memakai pakaian seragam sekolah diconteng dengan tulisan kesat dan berunsur lucah terhadap guru, yang gambar mereka menjadi tular di media sosial baru-baru ini, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Kedua-dua remaja berusia 17 tahun itu didakwa memakai baju yang mempunyai lambang dan tulisan bermaksud menghina atau lucah sehingga mengganggu keamanan setempat kerana dipakai di tempat awam di bulatan Chempaka dekat sini, kira-kira pukul 4.00 petang, 3 Mac lepas.

Mereka mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri.

Bagaimanapun, mahkamah belum menjatuhkan hukuman kerana menunggu laporan akhlak kedua-dua tertuduh dan membenarkan mereka masing-masing diikat jamin RM100 dengan seorang penjamin serta menetapkan 22 Jun untuk sebutan semula kes dan laporan akhlak.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan denda maksimum RM100, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Gayathri manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Nik Nazriani Nik Ab Rahman.

Sebelum ini, tular di media sosial sekeping gambar memaparkan dua pelajar sekolah yang masing-masing menunggang dan membonceng motosikal sambil memakai pakaian seragam sekolah diconteng tulisan mencarut terhadap guru.

— BERNAMA