Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid

IPOH – Polis menahan empat lelaki termasuk tiga warga asing kerana cuba memberi suapan kepada anggota yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Sungkai, Rabu lepas.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, lelaki tempatan berusia 47 tahun itu cuba memberi suapan RM150 kepada anggota polis supaya dilepaskan, selepas mereka dikesan tidak mempunyai surat kebenaran merentas negeri.

“Semasa kejadian kira-kira pukul 4.30 petang, lelaki itu bersama tiga lelaki warga Bangladesh dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Teluk Intan dan ketika pemeriksaan dilakukan, mereka tidak mempunyai surat rentas negeri. Bagaimanapun, tiga lelaki warga asing itu mempunyai dokumen pengenalan diri.

“Polis menyerahkan kesemua mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melawat SJR Tol Ipoh Selatan arah utara di sini, hari ini.

Sementara itu, Mior Faridalathrash berkata, polis mengadakan SJR di 33 lokasi di Perak, termasuk empat SJR Ops Benteng. – Bernama