Seorang wanita cuba membunuh diri untuk terjun dari bumbung jejantas Stesen Monorail Jalan Maharajalela hari ini.- Gambar Jabatan Bomba dan Penyelamat.-Ihsan BOMBA KL

BERAPA lamakah harus kita terus memohon untuk memansuhkan keseluruhan atau meminda Seksyen 309 Kanun Kesiksaan, yang menghukum mereka yang terselamat dari cubaan membunuh diri dengan hukuman penjara sehingga setahun, denda, atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan. Hanya tahun lalu Parlimen diberitahu bahawa Jabatan Peguam Negara sedang mengkaji kemungkinan undang-undang yang berkaitan dengan membunuh diri akan dipinda.

Bagaimanapun, minggu ini Mahkamah Majistret telah mendenda seorang penganggur yang telah cuba membunuh diri sebanyak RM 3,000 dan akan digantikan dengan tiga bulan penjara, jika dia gagal membayar denda tersebut. Dua bulan yang lalu pula, seorang lelaki berusia 42 tahun, yang telah cuba membunuh diri dengan menikam badannya menggunakan serpihan kaca dari tingkap kaca yang pecah, telah dihukum penjara satu bulan.

Sehingga kini, Malaysia menjadi salah satu daripada segelintir kecil negara di dunia yang masih mengamalkan undang-undang kuno, yang mana percubaan membunuh diri dianggap sebagai tindakan jenayah. Singapura telah mendekriminalisasikan cubaan membunuh diri pada 1 Januari 2020. Walaupun kebimbangan yang jelas telah diutarakan oleh Jawatankuasa Pembaharuan Undang-Undang Malaysia serta Pemimpin Organisasi Kesihatan Mental dan Pakar Kesihatan Mental mengenai perkara ini, Malaysia masih berlengah-lengah untuk mengatasinya.

Dari keseluruhan jumlah yang cuba membunuh diri, lebih daripada 90% menderita Penyakit Psikiatri Utama seperti Gangguan Bipolar Depresi Klinikal atau Penyakit Psikotik. Oleh yang demikian, mereka sebenarnya harus dianggap sebagai mangsa keadaan psikiatri mereka sendiri. Sekiranya pihak berkuasa mempunyai sebarang keraguan, pemeriksaan psikiatri haruslah dijalankan sebagai langkah yang lebih munasabah, sebelum pengadilan memutuskan untuk mensabitkan seseorang di bawah Seksyen 309.

Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah membolehkan Majistret memerintahkan supaya mereka yang dituduh, untuk diberi dan menjalankan penilaian selama satu bulan, di sebuah pusat psikiatri yang ditentukan. Ini boleh dilakukan sebelum perbicaraan dilanjutkan dan sementara menunggu penyerahan laporan oleh psikiatri. Majistret kemudian berhak menjatuhkan hukuman, dengan mengambil kira masa yang telah dijalani di wad psikiatri dan memerintahkan supaya pesalah mematuhi arahan psikiatri, sebagai langkah seterusnya. Tidak ada keperluan hukuman penjara atau denda disini. Dengan cara ini, keadilan dapat dilaksanakan dengan belas kasihan.

Sekiranya lelaki menganggur, yang telah terjun dalam percubaaan membunuh diri tidak dapat membayar denda dan disumbatkan ke penjara, disarankan supaya Ketua Pengarah Penjara merujuknya ke unit psikiatri untuk penilaian dan rawatan, supaya percubaan bunuh diri ketika berada di penjara pula, dapat dicegah. Rujukan pesakit kepada psikiatri seperti ini, telah diperuntukkan di bawah Seksyen 36 Akta Penjara 1995.

Perbincangan ini bukan hanya sekadar dekriminalisasi percubaan membunuh diri. Saranan ini juga merupakan permohonan supaya Malaysia bergerak lebih maju ke arah masyarakat penyayang dengan membuang jauh prasangka dan stigma mengenai penyakit jiwa, serta memelihara kepentingan mereka yang menderita penyakit jiwa berserta dengan keluarga mereka.

Malaysia perlu memperluas hala tuju dan liputan kesihatan mental dan tidak hanya menganggapnya hanya sebagai satu lagi masalah kesihatan semata-mata. Pendekatan pelbagai sektor yang melibatkan agensi kerajaan, sektor korporat, organisasi bukan kerajaan dan akademik di mana mereka perlu bersatu untuk menangani masalah kesihatan mental, yang semakin menjadi perhatian dalam kehidupan semua rakyat Malaysia dan bukan hanya mereka yang mempunyai penyakit mental yang teruk. Kepemimpinan dalam menangani isu ini adalah sangat penting.

Hanya beberapa pejuang permasalahan ini menyuarakan dan menyebut tentangnya, namun ia sangat ketara bahawa gejala kesihatan mental tidak dititikberatkan di Parlimen. Salah satu kemungkinannya ialah kerana tiada perwakilan sektor kesihatan mental atau kepakaran dalam isu kesihatan mental di Dewan Rakyat mahu pun di Dewan Negara .

Selain dari tambahan satu kerusi di Dewan Negara, yang telah diberikan kepada perwakilan organisasi bagi mereka yang mempunyai kecacatan fizikal, sudah tiba masanya kepemimpinan politik mempertimbangkan secara serius untuk mencalonkan wakil dari sektor kesihatan mental untuk menjadi suara yang jelas dalam perundangan .

Proses membuat keputusan yang lebih bijak mengenai masalah kesihatan mental secara umum dan pendekatan empati terhadap mereka yang menderita penyakit mental yang serius akan banyak membantu dalam mewujudkan masyarakat yang penyayang, inklusif, dan berdaya tahan.

Oleh: Datuk Dr Andrew Mohanraj
Presiden, Persatuan Kesihatan Mental Malaysia