Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Datuk Seri Bung Moktar Radin meminta peminat bola sepak Sabah FC untuk membantu pasukan itu dengan membeli jersi dan barangan asli sebagai tanda sokongan.

KOTA KINABALU – Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Datuk Seri Bung Moktar Radin meminta peminat bola sepak Sabah FC untuk membantu pasukan itu dengan membeli jersi dan barangan asli sebagai tanda sokongan.

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata melalui setiap pembelian jersi dan barangan itu, ia dapat menjana pendapatan kelab yang seterusnya membantu dalam usaha mengukuhkan kewangan kelab tersebut.

“Pastikan beli yang asli bukan yang tiruan, bantu kami (Sabah FC) dengan membeli baju jersi dan barangan yang asli. Bantu pasukan untuk mencapai kejayaan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Jersi home dan away Sabah FC berharga RM109; dan jersi serta barangan pasukan boleh dibeli menerusi laman web pembelian dalam talian Sabah FC iaitu : https://sabahfc.onpay.my/

Mengulas mengenai perlawanan Liga Super pasukan The Rhinos itu menentang PJ City FC di Stadium Likas di sini pada malam esok, Bung Moktar meminta semua pemain serta anggota pasukan supaya melupakan kekalahan 0-2 menentang Kedah Darul Aman FC pada Selasa lepas. (9 Mac)

“Pasukan kita perlu bangkit dan menggunakan peluang itu untuk mendapatkan mata…perbaiki bahagian yang ada kelemahan dan terus berusaha untuk memburu kemenangan, bermain di gelanggang sendiri memberi kelebihan kepada pasukan kita,” katanya.- BERNAMA