Seorang bapa bersama anak lelakinya maut, selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan yang melibatkan tiga kenderaan di Jalan Sungai Karangan dekat Kulim, malam tadi.-Kredit IPD Kulim.

ALOR SETAR – Seorang bapa bersama anak lelakinya maut, selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan yang melibatkan tiga kenderaan di Jalan Sungai Karangan dekat Kulim, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Azhar Hashim berkata dalam kejadian pada pukul 9.22 malam itu, mangsa Zaifisal Zakaria, 42,yang bekerja sebagai jurutera kilang, maut di tempat kejadian manakala anaknya Muhammad Zafril, 9, meninggal dunia di Hospital Kulim.

“Kejadian berlaku apabila kereta Proton Wira yang dipandu seorang lelaki berumur 43 tahun, dari arah Sungai Petani menghala ke Lunas telah dilanggar di bahagian tepi belakang oleh sebuah kereta Honda Civic, yang dipandu lelaki berumur 28 tahun.

“Akibat pelanggaran itu, kereta Honda Civic itu telah hilang kawalan sebelum melanggar bahagian hadapan kereta Perodua Kancil yang dinaiki dua beranak itu. Pemandu Honda Civic itu telah melarikan diri dari lokasi kemalangan, manakala pemandu Proton Wira itu tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Azhar berkata mayat Zaifisal yang tinggal di Taman Seri Melor, Kulim itu telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Kulim untuk proses bedah siasat.

“Polis telah mengenal pasti pemandu Honda Civic itu dan sedang mengesannya untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.- BERNAMA