Juventus bersedia menamatkan khidmat Ronaldo di Turin musim ini.

ROM – Juventus sudah bersedia meneruskan aktiviti tanpa superstar mereka Cristiano Ronaldo musim depan.

Laporan terkini di Serie A Itali mendakwa the Old Lady sudah bersedia menerima hakikat kehidupan tanpa bintang Portugal itu apabila membuka pintu kepada lamaran kelab elit Eropah.

Malahan juara bertahan Serie A itu bersedia menerima yuran sekitar £25 juta sahaja untuk melepaskan Cristiano Ronaldo pada akhir musim ini.

Keputusan mengejut itu menyusul berikutan prestasi semasa kelab yang merudum sejak kehadiran Ronaldo sebelum tersingkir dalam pusingan suku akhir Liga Juara-Juara Eropah menentang Porto Selasa lalu.

Kekalahan itu ternyata mengecewakan pasukan kendalian Pirlo yang didakwa membuat keputusan untuk menjual Ronaldo.

Ini merupakan musim ketiga berturut-turut Juventus gagal melangkah ke separuh akhir Liga Juara Eropah.

Pada usia 36 tahun, Ronaldo masih menyerlah dalam bola sepak sebagai aset bernilai dengan gaji tahunan bernilai £28 juta melampaui pendapatan rakan sepasukannya di Juventus.

Laporan di Itali mencadangkan Juventus sudah bersedia menerima musim tanpa Ronaldo musim hadapan selepas Paris Saint Germain berminat untuk melamar pemenang lima kali anugerah Ballon d’Or itu.

Kontrak semasa Ronaldo bersama Juventus akan berakhir pada Jun 2022 dan kelab tidak berhasrat untuk melanjutkan kontrak pemain itu.

Sementara itu laporan di Sepanyol mendakwa Agen Ronaldo Joge Mendes telah mengadakan perbincangan dengan Zidane untuk memastikan Ronaldo kembali semula ke Santiaago Barnebeu.

Malah laporan di Perancis juga menyebut pemain itu sentiasa berhubung dengan Presiden PSG Nasser Al-Khelaifi.-MalaysiaGazette