KUALA LUMPUR – Seorang dari dua lelaki yang dalam perjalanan  pulang dari sebuah pub mati ditoreh dengan pisau dan ditikam menggunakan botol arak di Bangsar awal pagi tadi.

Seorang lagi mangsa mengalami kecederaan parah selepas diserang sekumpulan suspek yang tidak dikenalinya seperti dalam video tular di media sosial hari ini.

Video berdurasi satu minit 36 saat yang menunjukkan mangsa tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di atas lantai ketika cuba diselamatkan rakannya.

Kejadian dilaporkan berlaku di sebuah premis pusat hiburan di Jalan Telawi 2, Bangsar Village sekitar jam 12.01 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, kejadian berlaku di lorong belakang Jalan Telawi 3 di belakang Affin Bank semasa si mati bersama rakannya telah ke Jalan Telawi untuk minum arak di Pub Maccal Chennai.

“Setelah selesai minum mereka meninggalkan premis berkenaan menuju ke tempat letak kenderaan sebelum terjumpa sekumpulan suspek lelaki tempatan sebelum berlaku pergaduhan.

“Akibatnya, mangsa ditoreh dengan menggunakan pisau di bahagian badan dan ditikam dengan botol beer oleh suspek.

“Mangsa yang mengalami kecederaan telah melarikan diri ke arah Bangsar Village dan telah terjatuh di hadapan sebuah kedai serbaneka,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Jarak tempat kejadian dengan tempat mangsa ditemui mati lebih kurang 150 meter.

Tambah Anuar, mangsa yang mati dikenalpasti sebagai Sanjeet Kumar Morthi berusia 28 tahun dan tinggal di Flat Laksamana Puri, Kampung Laksamana Batu Caves, Gombak.

Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) oleh rakannya sebelum meninggal dunia semasa menerima rawatan.

“Motif kejadian dipercayai dendam lama antara si mati dengan suspek-suspek itu menjadi punca mangsa dicari dan ditikam sehingga parah dan meninggal dunia,” ujarnya.

Sementara itu, seroang rakannya, J. Vekenesvaran Jeyabalan, 31, yang tinggal di Taman Wahyu pula mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

“Semakan mendapati simati mempunyai dua rekod kes jenayah lampau dikehendaki di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.

Rakannya yang cedera parah juga memiliki satu rekod lampau jenayah dadah bersabit Jinjang di bwah Seksyen 12(2)(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis telah mengenalpasti lima suspek terlibat dalam pergaduhan dan serangan ini dan usaha pemburuan telah diperhebatkan bagi mengesan dan menangkap kesemua suspek itu untuk tindakan lanjut,” tegasnya.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Polis patut tangkap mereka semua
    1.mabuk dikalangan org ramai
    2. Saman tak unit pkpp
    Padang muka diaorang. Kerajaan dah bagi kelongaran nak gaduh pula. Tutup Semua Pub lagi bagus.

Comments are closed.