bursa ringgit
Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka diniagakan secara berhati-hati pada kecenderungan penurunan minggu depan, dengan indeks petunjuk pasaran dalam julat 1,600 hingga 1,625, selain menunggu hasil mesyuarat Rizab Persekutuan AS (Fed) untuk hala tuju pasaran, kata penganalisis.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berkata pelabur akan memantau mesyuarat Fed pada 16 hingga 17 Mac berikutan ia menghadapi tugas sukar untuk memulihkan ekonomi AS.

“Terdapat kebimbangan dalam pasaran bahawa rangsangan besar oleh Presiden Joe Biden bernilai US$1.9 trilion boleh meningkatkan inflasi dalam ekonomi terbesar dunia itu. Oleh itu, sebarang pendirian yang menyokong kadar faedah tinggi daripada Fed boleh menyebabkan kegelisahan dalam pasaran,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Strategi Pasaran Global Axi Stephen Innes berkata, indeks barometer bursa tempatan akan terus menerima tekanan berikutan kebimbangan disebabkan hasil AS yang lebih tinggi yang akan menjejaskan saham dengan pertumbuhan jangka panjang.

“Bagaimanapun, ia akan diimbangi oleh bank, kaunter sektor minyak dan gas serta perkhidmatan yang akan mendapat manfaat daripada pelaksanaan vaksin.

“FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dapat bertahan melebihi paras 1,600 tetapi prestasi pasaran lebih luas akan banyak bergantung kepada bagaimana aset global respons kepada isyarat Fed,” katanya.

Bagi minggu baru berakhir, bursa tempatan diniagakan tinggi untuk tiga hari pertama meneruskan peningkatan semula pada Jumaat lepas, tetapi memberi laluan kepada aktiviti pengambilan untung pada dua hari terakhir dagangan.

Ia mengambil petunjuk daripada sentimen positif disebabkan kenaikan harga minyak mentah dan minat belian yang berterusan dalam saham kewangan, manakala tekanan jualan yang berterusan dalam sektor penjagaan kesihatan dan teknologi telah menjejaskan sentimen.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, petunjuk pasaran FBM KLCI naik 15.57 mata kepada 1,615.69 daripada 1,600.12 minggu lepas.

Di papan skor, Indeks FBM Emas naik 166.87 mata kepada 11,862.13, Indeks FBMT 100 meningkat 140.30 mata kepada 11,538.87, FBM 70 melonjak 300.35 mata kepada 15,652.0, Indeks FBM ACE menambah 257.20 mata kepada 10,665.19 dan Indeks FBM Emas Shariah naik 200.17 mata kepada 13,136.0

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 97.12 mata kepada 15,549.86, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 7.26 mata kepada 192.10 dan Indeks Tenaga meningkat 50.78 mata kepada 1,002.29.

Indeks Perladangan susut 26.64 mata kepada 7,136.78, Indeks Teknologi jatuh 1.26 mata kepada 83.73 dan Indeks Penjagaan Kesihatan merosot 116.34 mata kepada 2,993.08.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 48.11 bilion unit bernilai RM30.34 bilion daripada 51.97 bilion unit bernilai RM29.22 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 34.91 bilion saham bernilai RM26.72 bilion daripada 32.32 bilion saham bernilai RM24.22 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan waran naik kepada 2.50 bilion unit bernilai RM423.31 juta daripada 2.41 bilion unit bernilai RM415.24 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 9.92 bilion saham bernilai RM2.83 bilion daripada 17.24 bilion saham bernilai RM4.58 bilion pada minggu sebelumnya. – MalaysiaGazette