Arif Aiman Hanapi.

KUALA LUMPUR – Pemain muda kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi muncul penjaring termuda Liga Super untuk JDT menerusi jaringan yang dihasilkan ketika perlawanan Liga Super menentang UiTM FC malam tadi.

Baru berusia 18 tahun, 10 bulan, dia yang merupakan anak kelahiran Pahang memecahkan rekod yang sebelum ini dipegang oleh Hadin Azman yang ketika itu berusia 18 tahun, 11 bulan pada tahun 2013.
Arif Aiman yang membuat penampilan sulung liga untuk JDT menentang Felda United merupakan bekas produk Akademi Mokhtar Dahari di Gambang, Pahang.

Bercakap mengenai Arif Aiman, jurulatih JDT, Benjamin Mora melontarkan pujian buat pemain itu yang berjaya membantu pasukan merekodkan kemenangan ketiga berturut-turut mereka pada aksi malam tadi.

“Saya banyak bercakap dengan Arif dan kami sentiasa membantunya membina keyakinan diri.

“Dia memiliki bakat, skil dan masa depan, tetapi yang paling penting ilmu untuk bermain di dalam padang. Dia pemain yang sangat laju dan bijak,” katanya kepada media selepas perlawanan berakhir. – MalauysiaGazette