Ismail Sabri Yaakob targeted domestic travel bubble tourism Langkawi
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Lingkudau, Keningau, Sabah bermula esok hingga 28 Mac ini.

Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD itu dibuat selepas  membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa
Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat Kementerian Kesihatana Malaysia (KKM)

Jelas beliau, ia untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk serta mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti.

“KKM hari ini melaporkan situasi kes COVID-19 di Kampung Lingkudau, Keningau, Sabah dan sehingga kini, KKM telah melaksanakan 102 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 19 kes positif telah direkodkan.

“KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti ini dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ismail Sabri menambah, Kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Kuarters Sri Jelutung, Mukim Bebar, Pekan, Pahang esok lebih awal daripada tarikh yang dijadualkan setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP.

Jelas beliau, sehingga kini, KKM telah melaksanakan 80 ujian saringan dan daripada jumlah itu, secara kumulatif sebanyak empat  kes telah direkodkan.

“KKM mengesahkan kesemua keputusan sampel kedua untuk kontak rapat seramai 76 orang adalah negatif dan tiada lagi sampel menunggu keputusan,” katanya.

Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuarters Sri Jelutung, Mukim Bebar, Pekan, Pahang yang dijadualkan tamat pada 19 Mac ini. – MalaysiaGazette