Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan (kiri) bersama Timbalannya, Datuk Awang Hashim pada sidang media mengenai Pendakwaan Kes Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 di Kementerian Sumber Manusia, Putrajaya. Foto SYAFIQ AMBAK, 15 MAC 2021.

PUTRAJAYA – Penguatkuasaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) sejak September tahun lalu ternyata membuahkan hasil.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, akta itu telah membawa kepada pembukaan 124 kertas siasatan melibatkan 59 majikan pelbagai sektor.

“Daripada jumlah 124 kertas siasatan tersebut 115 kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dengan 70 kertas akan diteruskan dengan pendakwaan yang melibatkan pertuduhan di bawah Seksyen 24D, Seksyen 24H, Seksyen 24J serta Peraturan 3 dan Peraturan 4 di bawah Peraturan-peraturan Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Penginapan dan Penginapan Berpusat) 2020,” katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.

Pada Ogos tahun lalu, Saravanan berkata, majikan yang gagal mematuhi akta berkenaan boleh dikenakan denda RM50,000 bagi setiap kesalahan.

Penguatkuasaan itu akan dilaksanakan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) untuk memastikan semua majikan mematuhi akta tersebut.

Jelas Saravanan, ini kali pertama majikan diheret ke mahkamah atas kesalahan itu sejak ia diperkenalkan.

Mengulas lanjut, kebanyakan syarikat yang diheret ke mahkamah adalah syarikat-syarikat pembuatan dan pembinaan.

“Lebih banyak (yang disiasat) adalah kilang sarung tangan. Pendakwaan akan dibuat mulai bulan ini.

“Ada satu syarikat yang mempunyai sepuluh kesalahan, ada yang cuma dua kesalahan,” katanya lagi.

Sejak September tahun lalu sehingga Januari tahun ini, sejumlah 3,453 majikan telah diperiksa melibatkan 101,726 pekerja yang terdiri daripada 11,049 pekerja tempatan dan 90,667 pekerja asing.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan bercakap pada sidang media mengenai Pendakwaan Kes Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 di Kementerian Sumber Manusia, Putrajaya. Foto SYAFIQ AMBAK, 15 MAC 2021.

Sepanjang pelaksanaan Ordinan Darurat yang dilaksanakan 26 Februari sehingga Mac tahun ini, sebanyak 3,256 majikan telah diperiksa melibatkan 17,576 penginapan.

Daripada jumlah itu, lapan kertas siasatan telah diberikan kompaun.

Dalam pada itu, Saravanan menasihatkan syarikat-syarikat besar supaya tidak mengambil kesempatan keatas ke longgaran yang telah diberikan oleh kerajaan.

“Syarikat-syarikat yang berjaya jangan ambil kesempatan, kementerian apabila kita sebut sediakan kertas siasatan dan memperhalusi kedudukan kewangan syarikat tersebut.

“Maka saya percaya dan berharap agar syarikat yang terlibat dalam siasatan ini tolong bantu kerajaan supaya sama-sama kita memikul beban untuk mengurangkan kes Covid-19,” ujarnya.

Akta 446 diperluaskan kepada semua sektor pekerjaan dan mula berkuat kuasa 1 Jun lalu.

Kerajaan bagaimanapun, memberi penangguhan tiga bulan sehingga 31 Ogos ini bagi memberi ruang kepada majikan untuk membuat persediaan sewajarnya. – MalaysiaGazette