OKU
Gambar hiasan

MUTAKHIR ini ahli akademik negara dikecam dari pelbagai segi, sama ada dari kisah
peribadi, penulisan, tahap kesarjanaan, dihentam kanan dan kiri, depan dan tepi.Dek
kerana penulisan rentetan kajian luar negeri maka dunia akademik Malaysia mula
dipandang keji dan sepi. Maka sebelum dunia akademik mula menjadi polemik
ditambah zaman pandemik yang mana masyarakat gemar membawang di laman
sesawang, tidak kira di media sosial atau utama, maka marilah kita sama mencakna
isu ini dengan hati yang terbuka sambil membuka minda.Harapnya jangan mencebik
dek hal akademik yang sudah mula menjadi polemik.

Perkara pertama yang harus diingat ialah tentang besarnya dan berjasanya universiti
yang melahirkan ribuan para graduan oleh ribu pensyarah yang merupakan tenaga
pengajarnya, yang kadang tersohor di dalam dan luar negara.Peranan universiti
melahirkan para ilmuwan dan menumbuhkan pelbagai cabang pekerjaan negara
adalah antara jasa terbesar demi sumbangan terhadap nusa dan bangsa.Oleh itu
selayaknya universiti dan ahli akademik tidak dikecam secara buta tuli dan berapi-api.

Universiti selain mendidik anak bangsa, secara amnya mempunyai peranan yang luas
seperti menyedarkan masyarakat agar celik ilmu pengetahuan samada generasi lepas,
sekarang dan akan datang.Pendidikan kini adalah satu keperluan selain makanan,
pakaian dan tempat tinggal kerana tamadun juga peradaban sesuatu bangsa itu mampu
lahir hasil dari ketinggian ilmu dari sistem pendidikan. Pendidikan bermula seawal pra
sekolah, rendah ,menengah, pra universiti , matrikulasi hingga ke menara gading
universiti.

Sesebuah negara yang mempunyai universiti merupakan suatu kebanggaan negaranya
kerana mampu mendidik warganegaranya ke tahap yang tertinggi.Jika tahap
pendidikannya diiktiraf bertaraf antarabangsa maka ia mendorong pelajar negara luar
untuk datang ke negaranya.Sebagai contoh United Kingdom yang mempunyai ratusan
universiti menjana pendapatan billion pound sterling setahun hasil pendidikannya
yang menarik ribuan pelajar luar negara ke negaranya.

Pada asalnya di Malaysia cuma ada beberapa universiti utama sahaja. Sekitar hujung
tahun 90an terdapat ledakan ekonomi yang hebat di Malaysia yang memangkinkan
penubuhan pelbagai pusat persiapan sebelum ke universiti bagi menampung ribuan
pelajar lepasan SPM sekolah menengah.Rentetan itu pelbagai jenis universiti juga
kolej universiti ditubuhkan mengikut negeri juga keperluan kemahiran tertentu
samada oleh kerajaan persekutuan , negeri atau swasta.

Hasil dari proses pengajaran dan pembelajaran yang berjalan lancar kemudiannya
memenuhi keperluan audit dan akreditasi , maka kemudiannya kolej universiti ini
dinaiktaraf pula ke universiti. Bagi memantapkan tahap keilmuan dan kesarjanaan pensyarah selain universiti tempatan, para pensyarah juga dihantar melanjutkan pelajaran ke tahap Master dan PhD ke universiti luar negara seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, New Zealand, Australia, Eropah, Jepun, Korea juga Timur Tengah.

Bagi memenuhi tuntutan kepakaran tahap tinggi dan sub-kepakaran maka pensyarah
diberi pasca-doktoral juga cuti sabatikal. Ini adalah antara persiapan juga inisiatif di
bawah Kementerian Pengajian Tinggi bagi memantapkan tahap keilmuan dan
kesarjanaan tenaga pengajar agar setanding seiring negara lain .Kemudian sistem
kenaikan pangkat di universiti juga sentiasa bertukar menjadi semakin sukar dan
tinggi tahap pencapaian yang harus dimiliki untuk naik ke pensyarah kanan, Profesor
Madya, Profesor Kelas C, B dan seterusnya kelas A.

Tahap kesarjanaan para pensyarah dilihat sentiasa harus bertambah
dan meningkat seiring dengan keperluan penglibatan aktif dalam badan-badan
profesional negara sama ada di peringkat tempatan dan antarabangsa .Penglibatan dalam
masyarakat juga diambil kira peranannya bagi meningkatkan peranan universiti dalam
kalangan penduduk tempatan.

Oleh itu seorang pensyara,h selain tugas hakiki mengajar pelajar prauniversiti juga siswazah yang berbelas jam. Pensyarah juga perlu mengawasi pelajar seliaan sarjana dan
PhD. Pengajaran bukan sahaja memerlukan semangat juga ketekunan, juga ilmu
dalam menyediakan bahan pengajaran, kemudian keberkesanan bagi penyampaian.

Semua ini tidak boleh dipandang enteng dan senang. Ditambah lagi sesetengah kursus
memerlukan akreditasi lembaga profesional dan industri. Ini memerlukan kerjasama
rapat pensyarah dengan badan tersebut. Selain itu tugasan juga melibatkan penyediaan
fail bukan sahaja untuk tujuan audit tahunan MQA, malah keperluan badan kelayakan
akreditasi dan industri.

Ditambah lagi dengan tanggungjawab perjawatan dengan sedikit elaun dari universiti, maka ini semua menuntut komitmen, masa dan tenaga para pensyarah. Selain tugas hakiki pensyarah dalam pengajaran dan penyeliaan, pensyarah juga dinilai secara tahunan atas penyelidikan dan penerbitan.

Jika aspek penerbitan yang menyumbang berapa peratus sahaja, bermula 5%, dalam penilaian, maka para pensyarah yang dikecam rentetan penulisan yang mungkin terdapat banyak kekangan dan hadnya, ini ada pandangan yang tidak adil , dipukul rata terhadap ribuan para pensyarah negara. Bak kata pepatah kerana lembu seekor membawa lumpur, semuanya terpalit.

Mari kita membuat analisa ringkas kajian penulis dari negara Czech tersebut. Berdasarkan kajian tersebut penulis mengira kiranya dari kira rata 11.6% penerbitan jurnal pemangsa semua bidang, maka terdapat 19.8% setahun dari kira-kira 32000 jumlah pensyarah seluruh universiti awam Malaysia dalam 2017. Haruslah diingat setiap kajian ada hadnya dan tidak tertulis secara jelas kerana penulis jurnal pemangsa boleh jadi sama ada dari universiti awam, swasta, kolej atau institusi lain juga.

Secara dasarnya universiti dan ahli akademik adalah guru, yang merupakan suatu profesion yang mulia, yang seharusnya dihormati, bukan diperli dicaci sesuka hati. Kecaman yang tidak bertepi ini semua mencerminkan hati, akal dan budi saudara dan saudari.

Pendidikan tinggi di Malaysia sudah berada di landasan yang betul.Jika ada isu-isu
golongan sebegini seumpamanya maka ia adalah isu yang memerlukan perbincangan
juga perancangan penambahbaikan untuk masa akan datang, bukannya momokan juga
modal membawang yang tidak ada sudahnya.

Dr.Noor Dzuhaidah Osman
Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam
Malaysia &

Dr.Khairul Nabilah Zainul Ariffin
Pensyarah Kanan, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Sains Islam
Malaysia