Yang Di-pertua Mahasiswa Anak Kelantan UPSI , Muhamad Fikri Deraman.

KUALA LUMPUR – Kepimpinan empat Persatuan Himpunan Mahasiswa Kelantan (HIMSAK) mewakili institut pengajian tinggi awam (IPTA) berganding bahu menganjurkan program bengkel etiket dan protokol.

Ia melibat HIMSAK mewakili Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Teknologi Malaysia serta Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Ilmu pengurusan etiket dan protokol merupakan elemen dan asas penting pengurusan majlis kerana ia memberi gambaran dan imej yang positif kepada individu dan organisasi.

Selain itu, ia bagi memastikan kelancaran dan kesempurnaan pengurusan sesebuah program dan meningkatkan hubungan dua hala antara pihak penganjur, peserta dan tetamu kehormat.

Sehubungan dengan itu, Yang Di-pertua Mahasiswa Anak Kelantan cawangan UPSI , Muhamad Fikri Deraman berkata, setiap ahli jawatankuasa atau pimpinan HIMSAK perlu dilengkapi dengan ilmu pengurusan organisasi.

“Segala ilmu yang dikongsikan oleh penceramah jemputan menetapi keperluan kami sebagai pimpinan organisasi,” ujar beliau dalam program yang telah dilancarkan melalui layar Facebook Live HIMSAK UPSI baru-baru ini.

Sehubungan itu, penceramah jemputan, Mohd Raizol Ramli berkata, sesi perkongsian kali ini berkongsi tentang 20 elemen protokol dan 15 elemen etiket.

“Antara amalan protokol yang dilaksanakan dalam majlis universiti ialah susunan acara, susunan keutamaan dan susunan tempat duduk tetamu kenamaan universiti, urusan surat-menyurat atau perhubungan rasmi universiti dalam hal-hal yang berkaitan.

“Selain itu, etiket meja makan, etiket pergaulan sosial, penampilan diri dan pengayaan diri antara perkara yang dikongsikan dalam kursus kali ini,” jelasnya.

Sementara itu, salah seorang peserta, Nurul Hanis Athirah Abdul Rahman berkata, kursus yang telah dianjurkan pada kali ini mempunyai pengisian yang penuh maklumat dan sangat bermanfaat.

“Saya berharap agar pihak kepimpinan HIMSAK dapat memperbanyakkan lagi anjuran program seumpama ini.” katanya. -MalaysiaGazette