Shamsul Anuar Nasarah
KUALA LUMPUR – Tabung Khas Hakmilik Strata telah ditubuhkan  kerajaan bertujuan untuk menyelesaikan isu pemilikan bangunan lama berstrata yang dikenali sebagai bangunan khas di Semenanjung Malaysia.
Bangunan khas adalah bangunan yang tiada dokumen Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC)/Sijil Layak Menduduki (CF) dan telah diduduki sebelum Jun 1996 (perakuan automatik) atau dari Jun 1996 hingga 11 April 2007 (perakuan daripada Pihak Berkuasa Negeri).
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, kegagalan permohonan hak milik strata bangunan khas adalah disebabkan oleh pemilik asal atau pemajunya telah tiada dan skim perumahan tersebut mempunyai masalah kewangan untuk memohon hakmilik strata walaupun dalam keadaan pelikuidasi telah dilantik.
Manfaat penubuhan Tabung Khas Hakmilik Strata;
(a) membantu pembeli-pembeli kediaman bangunan khas terutamanya bagi kediaman yang berkategori kos rendah untuk mendapatkan hakmilik strata.
(b) penyelesaian pendaftaran hakmilik strata bagi bangunan khas akan memudahkan urus niaga hartanah bangunan khas.
(c) pendaftaran hakmilik strata akan memastikan buku daftar strata dibuka dan perbadanan pengurusan (MC) dapat ditubuhkan yang membolehkan pengurusan dan pentadbiran bangunan untuk kediaman berstrata tersebut dapat dilaksanakan dengan sempurna dan (d) urusan pembahagian harta pusaka oleh waris kepada pembeli kediaman yang telah meninggal dunia juga dapat diselesaikan dengan mudah sekiranya pemilikan berstrata ini diselesaikan.
Menurutnya, Lembaga Jurukur Tanah Malaysia merupakan penyumbang pertama Tabung Khas Hakmilik Strata berjumlah RM2 juta.
Sumbangan daripada Lembaga Jurukur Tanah Malaysia ini telah diperuntukkan untuk penyelesaian hakmilik strata kepada skim berikut;
(a) Pangsapuri Shangri-La, Taman Seri Cheras, Selangor;
(b) Taman Indah Fasa 1, Pulau Pinang;
(c) Pangsapuri Taman Tap, Teluk Intan, Perak; dan
(d) Taman Permai Ria Blok 24 & 26, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Tabung Khas Hakmilik Strata dapat membantu pemilik rumah bangunan khas terutamanya golongan B40 untuk menemui jalan penyelesaian pemilikan berstrata kediaman masing-masing, bukti keprihatinan kerajaan ke atas kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
Sumbangan Lembaga Jurukur Tanah Malaysia kepada Tabung Khas Hakmilik Strata diharap dapat menjadi pemangkin kepada badan-badan korporat yang lain untuk turut menyumbang ke dalam Tabung Khas Hakmilik Strata bagi membantu penduduk rumah kos rendah untuk mendapatkan hakmilik strata.
Tambah Shamsul, Tabung Khas Hakmilik Strata boleh menerima peruntukan daripada kerajaan serta sumbangan daripada mana-mana pihak sama ada perseorangan, pihak swasta, institut-institut atau mana-mana entiti dari dalam dan luar negara.
Penyumbang kepada Tabung Khas Hakmilik Strata ini boleh mendapat penolakan cukai 100% secara terus mengikut subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967. – MalaysiaGazette