Tengku Zafrul Abdul Aziz
KUALA LUMPUR – Malaysia perlu mengkaji semula penetapan dasar serta peranan kerajaan dan institusi untuk meningkatkan pertumbuhan sosioekonomi pada masa depan.
Negara juga melaksanakan pertumbuhan berintensifkan pengetahuan dan produktiviti, kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata, kerajaan sedar hasrat rakyat Malaysia yang mahu mencapai ekonomi berpendapatan tinggi tetapi ekonomi juga dapat meningkatkan taraf hidup.
“Rakyat Malaysia mahu kesejahteraan dalam sosial dan ekonomi, taraf kehidupan yang tinggi, bukan sahaja pendapatan tinggi, memenuhi keperluan pekerjaan.
“Mereka juga mahukan penyampaian perkhidmatan awam yang lebih baik,” katanya ketika melancarkan Laporan Bank Dunia “Aiming High — Navigating the Next Stage of Malaysia’s Development” hari ini.
Menurut Tengku Zafrul, dengan semangat itu, ia adalah penting untuk menilai semula kepantasan pertumbuhan Malaysia tetapi juga kualiti, inklusif dan kemampanannya.
Sebagai contohnya, kerajaan perlu memastikan peluang sama bagi semua warganegaranya, menyediakan peningkatan peluang mobiliti dan insentif yang baik untuk kekal dan bekerja di negara ini.
Tambah beliau, sumber daya yang lebih besar perlu dilaburkan untuk membina modal insan berkualiti tinggi dan  menawarkan peluang ekonomi yang lebih besar, terutama bagi golongan wanita.
Pembaharuan generasi akan datang dengan meningkatkan produktiviti dan pertumbuhan sektor swasta yang diterajui inovasi juga diperlukan, bersama-sama dengan dasar untuk mempromosikan pengembangan kemahiran dan bakat bagi memastikan  akyat Malaysia berada di tempat yang lebih baik untuk merangkul peluang dan cabaran ekonomi pasca-Covid-19.
Untuk merangsang pertumbuhan ekonomi, Tengku Zafrul berkata, Malaysia perlu meningkatkan daya saingnya, mencipta lebih banyak pekerjaan berkualiti tinggi, memperkukuhkan institusi-institusinya dan meningkatkan kemampuannya untuk membiayai peralihan kepada sebuah negara berpendapatan tinggi dan maju.
Bank Dunia dalam laporannya meramalkan Malaysia akan mencapai status negara berpendapatan tinggi dalam tempoh lima tahun lagi.
Dalam ucapannya itu, Tengku Zafrul berkata, walaupun Malaysia menghadapi berbagai-bagai rintangan yang disebabkan oleh pandemik, negara ini tetap komited untuk menjadi negara berpendapatan tinggi.
”Untuk menggapainya,  ia memerlukan ketekunan dan keterbukaan untuk meninjau kembali masa depan kita dan memperbaiki dasar dan institusi untuk mencapai pertumbuhan yang berkualiti, inklusif dan mampan,” ujarnya. – MalaysiaGazette