Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah South African B.1.351 Covid-19 variant
Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kes baharu harian Covid-19 menurun untuk tiga hari berturut-turut dengan 1,063 kes direkodkan pada hari ini berbanding 1,208 kes semalam dan 1,354 kes pada Ahad lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 1,059 adalah kes tempatan dan empat merupakan kes import.

“Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 326,034 kes kumulatif.

“Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula adalah 15,204 kes,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, terdapat 152 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 68 kes pula memerlukan bantuan pernafasan.

Bagaimanapun kes kematian akibat Covid-19 pula meningkat dua kes, daripada tiga kes semalam kepada lima kes pada hari ini.

“Kesemua lima kes kematian yang direkodkan hari ini melibatkan warganegara Malaysia di mana tiga kes dari Sarawak dan satu masing-masing Selangor dan Kuala Lumpur.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 1,218 kes atau 0.37 peratus,” katanya.

Dalam pada itu, Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 323 kes atau 30.4 peratus yang mana 284 kes daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti Sarawak dengan 183 kes (17.2 peratus), Pulau Pinang (175 kes), Johor (91), Kuala Lumpur (86), Kelantan (67), Sabah (38), Kedah (32), Perak (24), Terengganu (23), Negeri Sembilan (17), Pahang (2), Melaka (1), Labuan (1), Putrajaya (0) dan Perlis (0),” katanya.

Selain itu, sebanyak lapan kes yang dilaporkan berkaitan kluster-kluster di penjara.

“Ia membabitkan Kluster Tembok Pengkalan Chepa (5 kes), Kluster Tembok Bukit Besi (1 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (1 kes), dan Kluster Jalan Awang (1 kes),” katanya lagi. – MalaysiaGazette