Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan seramai 44 individu terdiri daripada 32 pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Selain itu seorang anggota dan seorang bekas anggota trafik polis juga ditahan.

Selebihnya melibatkan orang awam kerana dipercayai terlibat dalam sindiket melindungi para pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya membawa muatan lebih serta tidak memenuhi aspek teknikal.

Tangkapan tersebut dilakukan menerusi satu operasi besar-besaran yang dikenali sebagai Ops Sukat di lima negeri iaitu lapan kes di Kedah, masing-masing satu anggota trafik, bekas anggota trafik polis dan orang awam), Pulau Pinang (sembilan JPJ), Perak (lapan JPJ dan empat orang awam), Perlis (satu orang awam) dan Melaka sebanyak tujuh JPJ dan empat orang awam sejak semalam.

Difahamkan, pegawai JPJ tersebut melibatkan pelbagai gred termasuk pegawai kanan manakala orang awam pula merupakan proksi.

Menurut sumber, antara modus operandi yang dikesan ialah pegawai-pegawai berkenaan tidak akan mengambil tindakan terhadap pengusaha lori yang telah melakukan kesalahan jalan raya setelah menerima wang rasuah yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi atau proksi secara bulanan.

“Mereka dipercayai menerima kira-kira RM150 hingga RM3,000 sebulan dengan nilai keseluruhan melibatkan kira-kira RM1.64 juta.

“Perbuatan ini dipercayai dilakukan sejak 2019 hingga 2020,” ujar sumber tersebut.

Sementara itu, Ketua Pesuruhajaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkaitan operasi tersebut.

Beliau berkata, operasi tersebut merupakan hasil kerjasama antara SPRM dan JPJ khususnya Ketua Pengarah dan Bahagian Integriti JPJ dalam usaha meningkatkan integriti jabatan tersebut.

Katanya, ketika ini, siasatan masih lagi berjalan dan pihaknya tidak menolak kemungkinan akan ada beberapa lagi siri tangkapan.

“Objektif siasatan ialah tertumpu kepada kesalahan rasuah di bawah Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009 dan melibatkan isu salah laku. Kita cuba untuk lakukan siasatan secepat mungkin,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. tolong sisasat imigresen sekali, tengok kebanyakan pakai motor dan kereta mewah

Comments are closed.