ACP Nik Ezanee Mohd Faisal.

KUALA LUMPUR – Polis menahan tiga lelaki termasuk dua anggota polis, dan seorang wanita yang dipercayai terlibat dalam satu kes samun di sebuah kedai 24 jam di Kelana Jaya, Petaling Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 7.00 pagi di kawasan SS6 itu, seorang wanita memasuki premis kedai berkenaan dengan memakai ‘vest’ polis, dan mengambil beberapa barang di dalam kedai itu tanpa membuat bayaran.

Beliau berkata, pekerja premis cuba meminta bayaran, namun wanita berkenaan memberi alasan pegawai atasannya akan datang untuk membuat bayaran dalam tempoh sejam, dan dia terus melarikan diri dengan menaiki kereta peronda polis jenis Honda Civic.

“Antara barang yang diambil ialah lima kotak rokok pelbagai jenama, pemetik api dan gula-gula yang kesemuanya bernilai RM146.30,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Nik Ezanee berkata, hasil siasatan, polis menahan dua anggota polis berumur 31 dan 38 tahun pada sebelah petangnya di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, dan pada sebelah malamnya pula seorang wanita dan lelaki tempatan, masing-masing berumur 36 dan 27 tahun ditahan kerana disyaki terbabit dengan kejadian.

Beliau berkata, semakan polis mendapati wanita itu mempunyai tujuh rekod kes jenayah dan satu kes dadah manakala lelaki yang ditahan itu mempunyai lima rekod kes jenayah dan lapan kes dadah. – Bernama

3 Komen

  1. kalau ambil beras, ikan kering, dan susu tepung bayi bolehlah boss tolong bayar nanti.

  2. Pegawai polis patut jadi teladan. Ini pula terbalik. Macam mana Hari polis klu ada rekod jenayah?
    Shocking..

Comments are closed.