KUALA LUMPUR – Seramai 367,213 individu menerima dos pertama vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan setakat semalam.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, Selangor merekodkan pemberian vaksin paling tinggi dengan 45,854 individu diikuti Perak (42,227); Sabah (36,443); Kuala Lumpur (33,500) dan Sarawak (32,665).
“Sementara itu di Johor 27,131 individu telah menerima dos pertama vaksin diikuti Pahang (26,574); Kedah (25,492); Pulau Pinang (22,037); Kelantan (17,904); dan Negeri Sembilan (15,958).
“Di Terengganu pula seramai 15,726 individu; Melaka (9,954); Perlis (8,795); Putrajaya (4,611); dan Labuan (2,342),” katanya menerusi infografik di akaun Twitter miliknya hari ini.
Program imunisasi yang dilancarkan pada 24 Feb itu, menyasar untuk memberikan imunisasi secara percuma kepada penduduk negara ini, baik rakyat tempatan mahupun warga asing. – MalaysiaGazette