Najib Razak

ALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak menegur Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang didakwa telah menyalahi undang-undang kerana melanggar had statutori hutang langsung yang dinaikkan sendiri dan tersalah membuat unjuran fiskal.

Bekas perdana menteri itu berkata, pada bulan Ogos tahun lepas, kerajaan PN telah meluluskan kenaikan had hutang negara kepada KDNK dari 55% ke 60% di Parlimen selepas mengakui bahawa nisbah hutang negara kepada KDNK sudah naik ke 62.2% pada akhir tahun 2020.

Tapi pada masa yang sama kerajaan memberitahu bahawa nisbah 62.2% tidak menyalahi had 60% yang ditetapkan.

“Saya telah beberapa kali tulis tentang penipuan had limit (had) hutang ini dan saran kepada kerajaan untuk kurangkan hutang negara supaya di bawah had 60% diluluskan Parlimen atau mengusulkan kenaikan had hutang sekali lagi ke 65% agar kerajaan tidak menyalahi peraturan serta undang-undang sendiri dan tidak menghina Parlimen.

”Kerajaan boleh tipu rakyat dan tipu sendiri tapi kerajaan tidak akan mampu tipu pelabur asing dan ahli-ahli ekonomi yang akan membuat keputusan untuk melabur dalam Malaysia atau menurungkan penarafan negara,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Menurut beliau, situasi ini bertambah serius ketika ini kerana kadar pinjaman kerajaan setakat tahun 2021 sangat laju walaupun had statutori hutang negara sudah dilepasi pada akhir tahun lepas.

Dakwanya, kerajaan meminjam sebanyak RM19 bilion pada bulan Januari, Februari RM13 bilion dan Mac RM12 bilion.

Jelasnya, dengan pinjaman ini sudah tentu nisbah hutang 62.2% pada akhir tahun lepas telah naik lebih tinggi lagi bagi suku pertama tahun ini pada ketika ekonomi terus merosot setelah negara melaksanakan darurat.

”Mengambil aset serta rizab ditinggalkan kerajaan Barisan Nasionak dahulu serta meminjam dengan kadar amat besar untuk berkali-kali mengumumkan bantuan rakyat dan mengaku prihatin adalah perkara yang amat mudah sekali untuk dilakukan.
Mat Sabu sebagai PM dan Mahfuz sebagai Menteri Kewangan pun mampu buat,” ujarnya.

Bagaimanapun, ia perlu dilaksanakan secara jujur dengan tidak menyalahi undang-undang sendiri dan tidak membuat unjuran ekonomi yang jauh daripada realiti.

Selain itu, kerajaan juga perlu ada pelan untuk membayar balik hutang supaya ianya mampu dipulihkan di bawah had yang ditetapkan kerajaan sendiri.

Dengan itu, negara tidak akan lagi diturunkan penarafan seperti yang berlaku pada tahun lepas di mana kita turun menjadi negara gred “B” buat kali pertamanya sejak 20 tahun dahulu, ujar Najib lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. hahahahha..yang gasak duit tanpa had tuh lagi sakan..sebab tuh lah nih kena belanja tanpa had..sebab domino effect dari perbuatan gasak duit kerajaan

Comments are closed.