KUALA LUMPUR – Produktiviti buruh per jam bekerja negara terus mencatatkan pertumbuhan 5.5% tahun ke tahun pada suku tahun kedua 2026 (ST1 2026: 4.8%).
Seiring dengan itu, produktiviti buruh yang diukur berdasarkan nilai ditambah per jam bekerja meningkat kepada RM46.5 per jam (ST1 2026: RM45.5 per jam), kata Jabatan Perangkaan.
Menurutnya, prestasi ini disokong oleh ekonomi Malaysia yang berkembang sebanyak 6.0 peratus dan jumlah jam bekerja meningkat sebanyak 0.5 peratus kepada 9.6 bilion jam pada suku tahun kedua 2026.
Produktiviti buruh yang diukur berdasarkan nilai ditambah per pekerja meningkat sebanyak 4.9 peratus pada suku tahun ini (ST1 2026: 4.3%).
Nilai ditambah per pekerja meningkat kepada RM26,595 seorang (ST1 2026: RM26,168 seorang) disokong oleh peningkatan jumlah pekerja sebanyak 1.1 peratus (ST1 2026: 1.0%) kepada 16.8 juta orang (ST1 2026: 16.7 juta orang).
Berdasarkan prestasi mengikut sektor, produktiviti buruh yang diukur berdasarkan nilai ditambah per jam bekerja terus merekodkan pertumbuhan positif untuk kebanyakan sektor pada suku tahun kedua 2026.
Sektor perlombongan dan pengkuarian mencatatkan pertumbuhan tertinggi sebanyak 9.1 peratus, iaitu kembali pulih daripada suku tahun sebelumnya (ST1 2026: -2.4%) diikuti oleh sektor pembuatan sebanyak 7.1 peratus (ST1 2026: 5.8%), pembinaan sebanyak 5.6 peratus (ST1 2026: 7.8%) dan
perkhidmatan sebanyak 5.4 peratus (ST1 2026: 4.5%).
Sebaliknya, sektor pertanian mencatatkan penyusutan sebanyak 4.4 peratus berbanding pertumbuhan 3.6 peratus pada suku tahun sebelumnya.
Manakala, produktiviti buruh yang diukur berdasarkan nilai ditambah per pekerja mencatatkan prestasi yang sama pada suku tahun ini.
Sektor perlombongan dan pengkuarian menerajui prestasi dengan pertumbuhan 9.2 peratus (ST1 2026: -2.5%), diikuti pembuatan 7.3 peratus (ST12026: 5.8%), pembinaan 6.0 peratus (ST1 2026: 7.0%) dan perkhidmatan 4.2 peratus (ST1 2026: 4.1%).
Sebaliknya, pertanian menguncup 3.7 peratus berbanding pertumbuhan 2.5 peratus pada suku tahun sebelumnya. – MalaysiaGazette
















