Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof

SEPANG – Polis telah membuka kertas siasatan berhubung tindakan beberapa pemimpin parti politik dan menteri yang didakwa melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan merentas negeri untuk menghadiri majlis perkahwinan baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof  berkata, setakat ini polis akan memanggil penganjur majlis perkahwinan itu yang dipercayai diadakan di Seremban.

“Setakat ini kita dapatkan keterangan dari penganjur dulu. Suspek belum ada arahan lagi untuk rekod keterangan, tunggu arahan dari atas,” katanya hari ini.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas sama ada tindakan akan dikenakan kepada orang kenamaan yang merentas negeri bagi menghadiri majlis perkahwinan itu dengan merentas negeri.

Sebelum ini, tular di media sosial gambar yang memaparkan kehadiran beberapa pemimpin parti politik dan menteri yang menghadiri majlis perkahwinan itu ketika larangan merentas negeri masih tidak dibenarkan.

Bagaimanapun Wan Kamarul tidak memperincikan masa dan lokasi majlis perkahwinan itu.

Gambar-gambar majlis perkahwinan yang dihadiri oleh orang kenamaan itu viral di media sosial sebelum ia dipadamkan pada Selasa lalu.

Namun, seorang pengguna Twitter @Iamkanahraf memuat naik beberapa tangkap skrin yang memaparkan para tetamu VVIP di platform media sosial. – MalaysiaGazette