PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melancarkan program Pemerkasaan Komuniti yang digerakkan bagi menangani pandemik COVID-19 serta menyampaikan Titah Diraja pada 29 Mac ini secara siaran langsung di saluran televisyen.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata, antara inti pati program tersebut adalah untuk memaklumkan kepada masyarakat agar bersama-sama menjaga komuniti sekeliling dan keluarga masing-masing daripada risiko jangkitan COVID-19.
Beliau berkata, antara aktiviti Pemerkasaan Komuniti adalah penubuhan agen basmi COVID-19 (ABC-19), pertandingan kampung atau komuniti bandar zon hijau serta membantu pendaftaran vaksinasi untuk komuniti di pedalaman yang sukar dicapai oleh kumpulan lain dalam menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
Aminuddin berkata, Nadma diberi tanggungjawab untuk menambah pendaftaran penerimaan vaksin khusus di kawasan pedalaman dengan menggunakan kekuatan pengaruh ketua komuniti.
“Kita harus bersedia untuk memastikan kumpulan yang tiada telefon bimbit dan berada di kawasan pendalaman berpeluang untuk divaksinasi,” katanya, serta menambah masalah tiada hubungan internet atau telefon bimbit khususnya di kawasan pedalaman telah menarik keprihatinan Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Kampung atau komuniti terbaik akan menerima hadiah berbentuk peruntukan bagi tujuan pembangunan,” katanya.
Nadma juga akan berjumpa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada 23 Mac ini bagi mendapatkan bekerjasama dan kepakaran NGO untuk mendekati komuniti serta menghebahkan cara terbaik untuk bersama-sama menjaga daripada risiko COVID-19, katanya. – MalaysiaGazette