TOKYO – Gempa bumi melanda timur laut Jepun hari ini, kawasan yang musnah akibat bencana 2011, menimbulkan gelombang tsunami setinggi satu meter dan menggegarkan bangunan.

Gempa dengan kekuatan 7.2, melanda pantai Miyagi pada pukul 6.26 pagi (0926 GMT) pada kedalaman 60 km (40 batu), kata Agensi Meteorologi Jepun.

Semua amaran tsunami ditarik balik kira-kira sejam kemudian, kata penyiar NHK setelah memberi amaran kepada orang ramai untuk tidak mendekati pantai.

Tidak ada laporan mengenai kematian atau kecederaan.

Tokyo Electric Power mengatakan tidak ada kejadian luar biasa berlaku di loji nuklear Fukushima Daiichi – yang dimusnahkan oleh gempa besar pada bulan Mac 2011 yang menyebabkan krisis nuklear dan usaha menyelamatkan orang ramai dilakukan secara besar-besaran.

Jurucakap mengatakan tidak ada kejadian buruk berlaku di kemudahan Daini yang berdekatan dan di loji nuklear Tohoku Electric Power Co.

Tetapi perkhidmatan di kereta api laju Tohuku Shinkansen dihentikan, kata NHK.

Kira-kira 200 isi rumah di bandar Kurihara, di Miyagi, kehilangan kuasa akibat gempa itu, kata Kementerian Perdagangan dan Industri.

Gempa juga boleh dirasai di Tokyo, kira-kira 400 kilometer di bahagian selatan pusat gempa. – MalaysiaGazette