Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Bakal-bakal jemaah umrah yang bertindak menuntut bayaran daripada agensi masing-masing diminta berbincang semula bagi menyelesaikan isu ini.

Para jemaah boleh membenarkan agensi pelancongan menjadualkan semula tarikh berlepas selepas pintu sempadan negara dibuka.

Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH) berharap kaedah ini dapat membantu ahli-ahlinya dalam situasi menang menang.

Presidennya, Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, sekiranya pintu sempadan dibuka dalam masa terdekat, ini sudah tentu dapat menyelesaikan banyak masaalah yang dihadapi oleh agensi pelancongan masa kini.

Oleh itu, sekali lagi PAPUH ingin merayu kepada Kerajaan Malaysia untuk mempertimbangkan dan mempercepatkan pembukaan semula pintu sempadan negara.

Razali memberitahu, rata-rata ahli PAPUH berdepan dengan desakan oleh bakal jemaah mereka yang  menuntut kesemua bayaran yang telah dibuat sebelum pandemik Covid-19.

Sebelum Malaysia dilanda pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada bulan Mac tahun lepas, ahli-ahli PAPUH tidak mempunyai sebarang masalah untuk memasarkan pakej-pakej umrah mereka.

”Sebagai agensi pelancongan sudah tentu setiap pakej yang dibeli akan dikenakan bayaran pendahuluan. Bayaran pendahuluan yang diterima dari jemaah ini, pada lazimnya digunakan untuk pembayaran tempahan tiket penerbangan dan tempat penginapan di Makkah dan Madinah.

”Apa yang berlaku pada masa pandemik Covid-19, telah menghentikan segala bentuk perniagaan pelancongan termasuk haji dan umrah. Ini sudah tentu melibatkan ahli-ahli PAPUH dan bakal-bakal jemaah yang telah menempah pakej umrah dengan bayaran dari bulan Mac-Jun 2020, oleh yang demikian ianya menghentikan hasrat
bakal jemaah untuk menunaikan ibadah umrah.

”Sebagai agensi pelancongan, sudah tentu tidak dapat membuat apa-apa setelah perniagaan mereka terhenti akibat pandemik Covid-19, bayaran penuh dan deposit telah pun dibuat kepada syarikat penerbangaan, tempat penginapan dan bayaran visa.

“Rata-rata ahli-ahli menggunakan tempat penginapan bertaraf 3 bintang di Makkah dan Madinah yang mana pada masa sekarang tempat penginapan ini tidak boleh beroperasi dan ada di antaranya sudah menutup operasi mereka,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambahnya, bayangkan sekiranya bayaran tempahan telah dibuat oleh ahli-ahli PAPUH kepada tempat penginapan di Makkah dan Madinah, apa akan terjadi pada bayaran tersebut.

Dakwa Razali, ada juga di antara tempat penginapan di Makkah dan Madinah tidak memulangkan bayaran tempahan bahkan menyuruh agensi pelancongan menggunakan bayaran yang telah dibuat untuk tempahan yang akan datang bila situasi Covid-19 reda.

Mengenai syarikat penerbangan pula, ada setengah-setengah syarikat penerbangan tidak memulangkan bayaran tempahan tiket penerbangan dan menyaran agensi pelancongan menggunakannya untuk tempahan yang akan datang apabila situasi Covid-19 reda.

Beliau berkata, PAPUH mohon mana-mana kementerian atau agensi kerajaan untuk tampil membantu ahli-ahli bagi menyelesaikan permasaalahan ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast