Nur Syakirah Shahrizan dibawa ke Klinik Kesihatan Sungai Lembing oleh bapa mangsa.

KUANTAN – Perkelahan sebuah keluarga berakhir tragedi apabila seorang kanak-kanak perempuan dihanyutkan arus deras ketika mandi di Sungai Mas, Sungai Lembing di sini pagi tadi.

Mangsa, Nur Syakirah Shahrizan, 12, disahkan meninggal dunia selepas dikejarkan ke Klinik Kesihatan Sungai Lembing oleh bapa mangsa.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali dalam satu kenyataan sebentar tadi berkata, dua lagi adik mangsa turut lemas namun berjaya diselamatkan oleh bapa mereka.

Jelasnya, ibu bapa mangsa yang merupakan guru berusia 41 dan 40 tahun dari Inderapura di sini, bersama enam anak mereka termasuk mangsa datang ke lokasi itu untuk berkelah dan mandi sempena cuti hujung minggu.

“Insiden itu berlaku sekitar 10.15 pagi setelah mangsa bersama keluarganya yang tiba ke lokasi untuk berkelah sekitar 9.30 pagi dan turun mandi 45 minit kemudian.

“Mangsa dan dua adik kemudian dihanyutkan arus dan lemas, namun kejadian itu disedari bapa dan dua daripada mereka sempat diselamatkan,” katanya.

Tambah Mohamad Noor, mangsa yang tenggelam ditemui kira-kira 10 minit kemudian selepas usaha mencari dilakukan dengan bantuan penduduk.

“Mangsa diserahkan kepada bapanya sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Sungai Lembing namun disahkan meninggal dunia.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk tindakan lanjut,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast