Gambar hiasan.

KOTA KINABALU – Seorang pejawat awam di sebuah jabatan Kerajaan Negeri ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah semalam kerana disyaki meminta rasuah berbentuk perkhidmatan seks daripada seorang wanita.

Lelaki berusia 51 yang bertugas sebagai Ketua Jabatan di Keningau itu telah ditahan kira-kira pukul 3.30 petang di sebuah hotel di Keningau.

Menurut sumber, perkhidmatan seks tersebut ialah sebagai suapan untuk suspek memberikan sokongan kepada wanita tersebut mendapatkan pinjaman pertanian.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Katanya, suspek tersebut ditahan 24 jam untuk diambil keterangan dan telah dilepaskan dengan jaminan SPRM berjumlah RM10,000 tanpa deposit dengan seorang penjamin.

Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Beliau menjelaskan tafsiran suapan di bawah Seksyen 3 Akta SPRM 2009 meliputi pelbagai perkara termasuk pinjaman, jawatan serta perkhidmatan seperti perkhidmatan seks. – MalaysiaGazette