Azalinullah Alias.

KUALA LUMPUR – Terengganu FC (TFC) mendapat khabar buruk apabila kehilangan seorang lagi khidmat pemain tengah selepas Azalinullah Alias disahkan mengalami kecederaan yang menyebabkannya terpaksa berehat panjang.

Menerusi laman media sosial Twitter miliknya, pemain berusia 25 tahun itu meluahkan rasa kecewa dengan kecederaan yang dialaminya.

Namun Azalinullah memberitahu dia sedang memberikan sepenuh fokus untuk proses pemulihan untuk kembali pulih.

“Jadi kini fokus untuk pulih dan kembali dengan lebih baik berbanding sebelumnya. Saya ucapkan selamat maju jaya untuk rakan sepasukan dalam saingan Liga Super dan Piala AFC,” kata Azalinullah.

Bekas pemain PJ Rangers itu mengalami kecederaan ketika aksi Liga Super menentang Melaka United pada Rabu lalu selepas dia dimasukkan sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua.

Sebelum ini, Nafuzi terpaksa melupakan khidmat Petrus Shitembi ekoran pemain tengah itu mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL). – MalaysiaGazette