The Chairman of Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. PIX: AFFAN FAUZI / MalaysiaGazette / 23 AUGUST 2020 parliament sitting MCO
Ahmad Zahid Hamidi PIX: AFFAN FAUZI / MalaysiaGazette / 23 AUGUST 2020

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mentadbir kerajaan pada hari ini bukan Kerajaan Barisan Nasional (BN) atau Muafakat Nasional (MN) walaupun ada Ahli Parlimen BN menganggotai kerajaan sekarang.

Bahkan UMNO juga bukan sebahagian daripada PN, sekadar menyokong pembentukannya.

Lantaran itu, media sosial akan terus digunakan oleh UMNO untuk menyuarakan permasalahan rakyat dan negara terutama pada waktu Parlimen terus digantung.

Berdasarkan tiga perkara tersebut, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, bukanlah menjadi suatu kesalahan atau halangan untuk UMNO terus membangkitkan isu berkait kepentingan rakyat dan negara.

Presiden UMNO itu maklum pasukan propaganda pihak tertentu terus bermain naratif UMNO tidak sepatutnya mempersoalkan dasar-dasar kerajaan sedia ada secara terbuka di media sosial.

Beliau berkata, memang benar segelintir Ahli Parlimennya menganggotai kerajaan PN, namun mereka tidak boleh membuat keputusan atau dasar secara individu.

Walaupun mereka maklum apa-apa isu dibangkitkan UMNO, sebarang ketetapan masih perlu dibuat melalui kerajaan PN yang didominasi pimpinan parti lain.

“Justeru, media sosial sebagai saluran UMNO yang seterusnya dalam usaha menyampaikan mesej rakyat kepada kerajaan secara lebih jelas – ‘direct sound’.

”Lagipun memang menjadi tanggungjawab UMNO parti keramat agama, bangsa dan negara mengetengahkan segala isu yang memanfaatkan rakyat dan negara,” kata Ahmad Zahid.

Jelas beliau, kesimpulannya, UMNO bukanlah lagi pembuat dasar seperti sebelum PRU14, tetapi jika BN masih mentadbir negara, UMNO boleh terus mengambil tindakan seeloknya.

”InsyaAllah, apabila rakyat kembali beri kepercayaan kepada UMNO/BN mentadbir negara pada PRU15, yang baik kita jadikan teladan, yang tidak baik dijadikan sempadan.
Kita sama-sama belajar daripada pengalaman,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast