Pembuangan sampah ke dalam sungai antara punca pencemaran air berlaku sekali gus menjejaskan kualiti air.- Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) mengkaji semula undang-undang berkaitan air.

Ia perlu dilakukan bersesuaian dengan keadaan masa kini di mana pencemaran semakin berleluasa.

“Pihak yang melakukan kesalahan menjejaskan sumber air harus dikenakan hukuman lebih berat setimpal dengan kesalahan yang dilakukan,” kata Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, KASA dan kerajaan negeri seluruh negara mempertingkatkan usaha  menambah baik pengurusan air bagi keperluan rakyat.

Beliau berkata, penyusutan takungan air di beberapa buah empangan seperti di Empangan Muda di Kedah, pencemaran sungai di Selangor dan Sungai Kim Kim di Johor sudah membuktikan kesan buruk  berlaku ke atas kualiti air dan kehidupan penduduk.

Kata beliau, tinjauan pihaknya mendapati ancaman terhadap sumber air seperti kemusnahan kawasan tadahan akibat aktiviti pembalakan, pencemaran sungai dan laut menyebabkan tahap kebersihan air amat membimbangkan.

Keadaan sungai berlumpur dipercayai akibat pencemaran menjadi salah satu punca kualiti air terjejas.-Gambar hiasan.

Jelasnya, terdapat juga saliran di kawasan pertanian yang dijadikan tempat pembuangan bekas racun oleh segelintir petani menyebabkan air tercemar dan mengancam pembiakan ikan.

“Kita boleh lihat kualiti air di Tasik Timah Tasoh di Perlis dan Tasik Chini di Pahang juga turut terjejas akibat pencemaran alam sekitar yang berlaku.

“Manakala air laut di perairan negara pula telah tercemar dengan pelbagai bahan buangan termasuk sisa minyak dari kapal dagang seperti yang berlaku di Port Dickson, Negeri Sembilan menyebabkan hidupan laut terancam dan sumber pendapatan nelayan teruk terjejas,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohideen berkata, puluhan ribu penduduk negeri Kedah merungut dan bimbang kesihatan mereka terjejas kerana bekalan air paip bukan saja berkurangan tetapi juga kotor serta berkeladak.

“Bagi mereka yang menggunakan sumber air dari bukit yang dikenali sebagai air masyarakat, turut mengeluh kerana bekalan tersebut dicemari sisa lumpur akibat daripada aktiviti penerokaan hutan yang tidak terkawal.

CAP mendakwa sektor pertanian akan terjejas jika negara gagal dalam pengurusan air.-Gambar hiasan.

“Ancaman terhadap sumber air turut menjejaskan sektor pertanian di mana banyak kawasan pertanian terutama sawah padi mengalami kemerosotan hasil sekali gus menggugat sumber pendapatan petani.

“Masalah air yang berlaku bukan sahaja boleh menjejaskan kesihatan pengguna sektor pertanian, perikanan dan bekalan makanan untuk rakyat tetapi juga masa depan ekonomi negara,” ujar Mohideen.

Dalam perkembangan sama, CAP turut menyeru orang ramai supaya menghargai air dalam kehidupan mereka dengan mengamalkan sikap berjimat cermat tanpa melakukan pembaziran. – MalaysiaGazette