Rozita Che Wan dan Syamsul Debat.

KUALA LUMPUR – Saban tahun, sambutan ulang tahun kelahiran pelakon dan ahli perniagaan Rozita Che Wan terus diraikan.

Tahun ini, pelakon yang terkenal menerusi drama Kiah Pekasam itu genap usia 48 tahun.

Malah mengabadikan memori dan kenangan setiap detik yang terjadi, isteri kepada Zain Saidin yang mesra disapa Che Ta itu memuat naik video dan gambar di laman Instagramnya.

Kali ini sehari sebelum usianya bertambah, Che Ta mengambil inisiatif mengadakan majlis kesyukuran berbentuk kuliah Dhuha di premis acara Aman House di ibu kota dengan mengundang pendakwah bebas, Syamsul Debat.

“Rancangnya nak jemput Ustaz Syamsul Debat sebelah malam. Tapi kerana jadualnya padat, sempat sebelah pagi sahaja kerana petangnya dia ada kerja di Ipoh, Perak.

“Kami mula kenal rapat pun sewaktu dia muncul sebagai penampilan istimewa menerusi drama Janda Kosmopolitan. Malah dia pun pernah undang saya dalam siri perkongsian ilmu dianjurkannya.

“Ikutkan saya sudah selalu adakan acara seumpama ini atau membabitkan hal syurgawi. Malah saya pernah anjurkan majlis keraian atau ulang tahun kelahiran dengan menjamu anak yatim makan.

“Jadi ia bukan benda baru pun saya mengundang pendakwah,” katanya.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu pun menyenangi cara Syamsul Debat berkongsi ilmu dan nasihat.

“Ada usikan dan lawaknya memang betul betul kena tepat kepada batang hidung sendiri. Ia jadi teguran bermakna dan cerminan untuk diri sendiri

“Macam tempoh hari, saya ajak keluarga dan teman rapat untuk sama sama mendengar kuliah daripadanya. Jujur rasa tak puas mendengar kuliahnya ketika itu sebab dia perlu bergegas ke tempat lain.

“Tak apa ada rezeki lain, boleh ajak dia lagi,” katanya.

Rozita Che Wan genap usia 48 tahun.

Pada sebelah malam pula, anjuran keraian diteruskan lagi dengan bertemakan hitam putih. Tetamu lelaki diwajibkan memakai sut, manakala perempuan pula kena menyarung gaun.

“Usia bertambah kebiasaannya saya mahu kongsi detik gembira itu dengan yang rapat dan tersayang. Itu juga cara saya berkongsi rezeki.

“Biarpun menyambut peningkatan usia kali ini kala pandemik Covid-19 belum surut namun saya tetap bersyukur. Mujur dilaksanakan kembali Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, cuma tetamu diundang tak boleh terlalu ramai,” katanya.

Dalam keseronokan mengadakan majlis berkenaan, Che Ta tak lepas daripada perhatian dan usikan nakal apabila suaminya tidak kelihatan.

“Memang kawan saya pun pelik kenapa suami tak ada pada majlis diadakan. Sampai ada yang ingat kami ada apa apa ke? Zain sebenarnya ada kerja penggambaran sebuah drama untuk Awesome TV. Memang tak boleh nak buat apa.

“Tapi kalau ada yang perasan, dia ada muat naik video di laman Instagramnya mengucapkan selamat hari lahir saya di samping pelakon Azhan Rani malah pada sambutan ulang tahun perkahwinan adik saya (Jaja) dan meraikan ulang tahun kelahiran saya juga, Zain dapat hadir,” kata duta produk penjagaan kulit dan kecantikan Mylea itu.

Che Ta dan anak bongsunya, Aaisyah Dhia Rana.

Menghampiri usia 50 tahun, Che Ta hanya mengharapkan terus diberi kudrat dan dimurahkan rezeki.

“Saya juga berharap hasrat untuk berpindah ke kediaman baru akan jadi kenyataan tahun ini. Kalau tak ada aral akan masuk rumah itu sebelum raya nanti. Harapnya dapatlah beraya di rumah baru.

“Sebenarnya, sejak tahun lalu, ketika pandemik melanda, saya bertukar kontraktor kerja pengubahsuaian sebanyak tiga kali.

“Ada yang menipu, jadi itulah punca urusan berpindah ke rumah baharu jadi tertangguh,” katanya

Dalam perkembangan lain, Che Ta juga terus sibuk memenuhi undangan berlakon.

Dia baru saja selesai menjalani penggambaran drama Dia Isteriku berganding dengan Hafidz Roshdi untuk TV AlHijrah.

“Insya-Allah hujung bulan ini kalau tak ada aral melintang, saya akan ke Perlis untuk penggambaran drama 13 episod, Ayahanda terbitan Zeel Production.

“Drama itu arahan Datuk Ahmad Tarmimi Siregar. Ia turut dibintangi Fauziah Ahmad Daud dan Shahrolnizam Nor.

“Nampak gayanya saya akan menyambut Ramadan di sanalah kerana penggambaran drama itu 100 peratus dilakukan di sana,” katanya yang terus diberi mandat mempromosikan jenama Habib Jewel untuk tahun ketiga. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast