Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador hadir ke sidang media mengenai kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik mengenai rampasan dadah jenis syabu bernilai RM35.4 juta di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 22 MAC 2021.

SHAH ALAM – Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk ancaman Korea Utara ekoran isu hubungan luarnya dengan negara ini.

Ia termasuk kenyataan Kaunselor Kedutaan Korea Utara di Malaysia, Kim Yu-Song yang mengeluarkan kenyataan ‘Malaysia akan menanggung akibatnya’ kerana mengekstradisi seorang rakyat mereka ke Amerika Syarikat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pasukannya sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga untuk berdepan  sebarang kemungkinan demi melindungi keselamatan negara.

“Kalau orang marah, memang akan cakap seperti itu (Malaysia akan menanggung akibatnya) tetapi kita akan mengambil tindakan selanjutnya sekiranya dia berada di sini namun mereka hendak pergi..biarlah pergi.

“Kita menerima pelbagai ugutan tetapi PDRM sentiasa berjaga-jaga daripada aspek keselamatan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Abdul Hamid juga menjelaskan  pelbagai kemungkinan boleh berlaku dan sejarah sendiri menyatakan sedemikian.

Semalam, Konsulat Kedutaan Korea Utara, Kim Yu Song semasa meninggalkan premisnya memberi amaran keras kepada Malaysia berhubung tindakan pengusiran mereka.

Dalam kenyataannya beliau membidas tindakan Malaysia dan berkata negara ini akan menanggung akibat daripada tindakan yang dilakukan.

Dalam pada itu, Abdul Hamid  menjelaskan, proses kesemua pegawai dan kakitangan kedutaan Korea Utara itu meninggalkan negara berjalan dengan lancar dan selamat tanpa sebarang masalah.

“Itu keputusan Korea Utara dan memang termaktub sekiranya terputus hubungan diplomatik, semua kakitangan mesti keluar meninggalkan dari sesebuah negara tersebut dan ia bukan kehendak kita,” tegasnya.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

 

Malaysia perlu tanggung akibatnya – Kim Yu-Song