Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof. Foto SHAFIY ZUL, 22 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – “Saya marah dan geram,” itu luahan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berhubung kejadian komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan di Persiaran Alam Damai di sini pagi tadi.

Dalam insiden itu,  tiga mangsa maut membabitkan pemandu sebuah kereta yang sedang melalui jalan di bawah pembinaan itu dan dua pekerja di tapak tersebut.

Fadillah berkata, pihaknya sudah berkali-kali memberi peringatan kepada pihak kontraktor namun insiden seperti itu masih terjadi lagi.

Apa yang mengecewakan beliau apabila membabitkan kematian termasuk orang awam.

“Saya marah geram ada walaupun kita sudah bagi peringatan kepada kontraktor dan pemaju kontrak, nampaknya masih berlaku juga kemalangan di tapak pembinaan. Lebih mengecewakan melibatkan kematian.

“Dalam pelaksanaan kontrak ini, apa-apa projek ada beberapa perkara yang mesti dipatuhi kontraktor. Salah satunya dari segi keselamatan dan kesihatan, bukan pada tapak pembinaan itu untuk pekerja tetapi orang yang melalui tapak itu keselamatan mereka mesti dijamin,” katanya.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal-Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad AL-Bakri bergambar dengan penerima-penerima surat setuju pada Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Tender Projek-Projek di Kompleks Kerja Raya, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 22 MAC 2021.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Tender Projek-Projek di bawah Pelaksanaan kementerian dan Jabatan Kerja Raya Malaysia di sini hari ini.

Fadillah menegaskan, berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) jalan raya di kawasan itu perlu ditutup kepada orang ramai sebelum engalih dan menggerakkan struktur berat di tapak pembinaan.

Malah jelas beliau, setelah memastikan semua keadaan terjamin dan berada dalam keadaan selamat, barulah jalan raya boleh dibuka semula untuk orang awam.

“SOP hendak alih dan gerakkan struktur kita kena tutup jalan. Bila sudah pasti struktur dan jalan itu selamat baru boleh buka untuk orang lalu lalang, Itu standard SOP dan tetapi saya tidak tahu SOP ini tidak dipatuhi.

“Sebab itu saya minta saya LLM Lembaga Lebuhraya Malaysia di bawah bidang kuasa kementerian, CIDB  Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), DOSH (Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan) dan juga Pihak Berkuasa Tempatan untuk siasat dan ambil tindakan tegas.

“Kalau terpaksa kita tutupkan jalan dulu, siasat dan ambil tindakan sewajar agar perkara ini tidak berulang lagi. Kita sudah pasti geram walaupun sudah bagi peringatan.

“Bagi pihak kita kalau dapati kecuaian ini betul, kita akan senaraikan kontraktor ini supaya tidak boleh terlibat lagi, sekurang-kurang dua tahun digantung dan tidak boleh dapat tender termasuk swasta. Saya minta CIDB ambil tindakan tegas,” katanya.

Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah b. Haji Yusof (tengah) bercakap kepada media selepas Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Tender Projek-Projek di Kompleks Kerja Raya, Kuala Lumpur. Foto SHAFIY ZUL, 22 MAC 2021.

Sementara itu, seorang daripada tiga mangsa yang maut dalam kejadian komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan di Persiaran Alam Damai itu didakwa masih tersangkut di bahagian atas binaan itu.

Difahamkan, mayat warga asing berkenaan tersepit pada ketinggian kira-kira 40 meter, iaitu di antara konkrit binaan dan kren terbabit.

Ketika ini anggota Pasukan Bomba dan Penyelamat sedang berhati-hati dalam melakukan kerja mengalihkan mangsa berikutan struktur kren yang masih tersangkut.

Fadillah turut turun padang melawat lokasi kejadian selepas majlis penyerahan itu berakhir. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Ko sebagai Menteri yg bertanggungjawab perlu letak jawatan laaa…tak payah nak bg mcm2 excuses dan salahkan org lain…

  2. Geram, marah SELESAI MASALAH ke? Tu tak termasuk lagi banyak kes2 seperti cat tumah diatas kereta dsb yang tidak dilapurkan?

    Banyak projek2 civil memang tak ada SAFETY lansung jika dibandingkan dengan projek2 oil & gas. Hanging object dimana2? Hanya menunggu masa dan mangsa sahaja?

  3. Beri peringatan seribu kali pun jika tidak disertai dengan padahnya hukuman batal kontrak, denda dan/atau penjara yang setimpal maka mengaum macam harimau tanpa taring jer.

Comments are closed.