Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan mesyuarat bersama Ahli-ahli Parlimen pembangkang di Parlimen.

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tidak ada masalah untuk Ahli-ahli Parlimen bersidang pada sesi Dewan Rakyat biarpun pengisytiharan Proklamasi Darurat diwartakan.

Menurut beliau, Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pernah bertitah supaya sidang Dewan Rakyat diadakan semasa tempoh darurat berkuat kuasa.

“Tidak ada masalah untuk Ahli Parlimen bersidang kerana perlawanan bola sepak boleh diteruskan, panggung wayang boleh berjalan dan tidak ada sebab sama sekali.

“Jadi ini cara kita melahirkan bantahan kita kepada keputusan penggantungan sidang Parlimen walaupun Yang di-Pertuan Agong telah memberikan pandangan bahawa darurat itu tidak bermakna sidang Parlimen boleh digantung.

“Ia hanya menunggu keputusan Perdana Menteri jadi kalau kita tahu dalam kaedah perlembagaan institusi negara kita apabila Yang di-Pertuan Agong beri pandangan seperti itu maknanya berikan gambaran yang jelas bahawa pandangan kerajaan tidak tepat untuk menggantung Parlimen,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas mengadakan mesyuarat bersama Ahli-ahli Parlimen pembangkang di Parlimen, hari ini.

Pada 24 Februari lalu, YDPA menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.

Sebelum ini, Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, perkara itu termaktub dalam sub perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana difikirkan sesuai oleh YDPA atas nasihat Perdana Menteri.

Pembangkang sebelum ini mengkritik langkah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang masih belum membuka sidang Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Anwar berkata, pengiktirafan darurat tidak mempunyai apa-apa asas yang munasabah oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Oleh itu, Pakatan Harapan (PH) bertindak membantah langkah ini, ujarnya.

“Keputusan yang kita buat ini adalah dengan tindakan kita membantah pengisytiharan darurat yang tidak mengemukakan apa asas yang munasabah.

“Penggantungan Parlimen yang merupakan satu-satunya negara bersama Myanmar, jadi bila Perdana Menteri tegur Myanmar, negara Myanmar patut tegur Perdana Menteri Malaysia bahawa tidak ada sebab yang munasabah untuk gantung Parlimen,” kata Anwar lagi.

Antara lain, mesyuarat turut membincangkan hal-hal berkaitan vaksin dan Program Imunisasi Kebangsaan, serta isu Prosedur Operasi Standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara.

Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu, mesyuarat juga turut menyentuh soal ekonomi serta isu semasa negara mutakhir ini dan gesaan untuk pembukaan semula Parlimen dengan penekanan khusus kepada pelbagai isu yang memerlukan fungsi Parlimen itu ditingkat serta dirancakkan. – MalaysiaGazette