Foto Facebook Perak FC.

KUALA LUMPUR – Ketua Jurulatih Perak FC, Chong Yee Fatt tetap menarik nafas lega di sebalik keputusan seri 2-2 berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super 2021 semalam selepas berdepan dua kekalahan berturut-turut pada minggu lalu.

Kemenangan sememangnya dicari oleh pasukan ini bagi memulihkan kembali semangat pemain selepas dihimpit prestasi kurang konsisten pada awal musim, namun satu mata yang diraih semalam dilihat sudah cukup bermakna selain berjaya untuk memberi tentangan sengit kepada JDT.

Jelas Yee Fatt, beliau memahami tekanan yang dihadapi pemain dalam misi memburu kemenangan, tetapi komitmen yang cukup tinggi dipamerkan di Stadium Perak membuktikan betapa pasukannya enggan lagi tersungkur buat kali ketiga apatah lagi ketika berdepan skuad yang kini masih gah di takhta liga.

Dua gol yang dijaringkan oleh Guilherme de Paula nyata memberi kepuasan kepada penyerang itu untuk menamatkan kemarau gol dalam empat perlawanan sebelum ini.

“Sememangnya kecewa apabila kita tidak dapat tiga mata penuh, tetapi kalau nak ikutkan satu mata pun sudah buat kita gembira, khususnya apabila melihat cara pemain beraksi, mereka memang pamerkan semangat ingin menang yang tinggi.

“Saya tetap berbangga dengan mereka kerana beberapa perlawanan sebelum ini aksi mereka tidak konsisten dan sebelum aksi semalam, kami ada bercakap dari hati ke hati bagaimana kita tidak boleh lagi tercicir mata dan satu mata ini diharapkan cukup untuk memberi motivasi lagi kepada mereka bagi perlawanan akan datang.

“De Paula juga akhirnya memberi sesuatu kepada pasukan di mana saya ada beritahu dia untuk tidak terus kecewa dengan aksi-aksi terdahulu, dia perlu menikmati setiap perlawanan akan datang dan itu yang dia lakukan untuk kami semalam”, katanya kepada Liga Bola Sepak Malaysia selepas perlawanan berakhir semalam. – MalaysiGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast