GEORGE TOWN – Pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia bakal menjadi taruhan negara pada Sukan Olimpik akan datang.
Perkara itu disuarakan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican susulan kemenangan Zii Jia pada Kejohanan All England semalam.
Beliau berkata, prestasi yang ditonjolkan Zii Jia sekali gus menunjukkan pemain itu mampu menjadi taruhan dan harapan buat rakyat Malaysia dalam kejohanan antarabangsa itu.
Bagaimanapun, jelas beliau, pemain berusia 23 tahun itu perlu melakukan pelbagai persediaan termasuk mengelak kecederaan serta mengekalkan kecergasan untuk melangkarkan sejarah di Sukan Olimpik.
“Memang masih terlalu awal untuk saya menyatakan Zii Jia berada pada laluan tepat untuk memenangi Sukan Olimpik tetapi dengan persiapan tertentu Zii Jia boleh menjadi sandaran utama seperti atlet terjun dan basikal.
“Secara peribadi saya melihat prestasi Zii Jia meningkat naik dan ia terbukti apabila anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu merangkul kejohanan dalam All England semalam,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Zii Jia semalam melakar kejutan apabila menewaskan pemain yang menghuni ranking kedua dunia dari Denmark, Viktor Axelsen pada aksi di Birmingham untuk muncul sebagai juara perseorangan lelaki Kejohanan All England.
Zii Jia yang juga pemain ke-10 dunia mempamerkan aksi cukup bertenaga dan semangat juang yang tinggi dalam perlawanan yang berlangsung selama lebih sejam itu sebelum menang 30-29, 20-22, 21-9 ke atas Axelsen.
Dalam perkembangan sama, Reezal Merican turut mengucapkan tahniah kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kerana berjaya menyediakan barisan pemain yang mantap.
“Prestasi pemain menunjukkan banyak peningkatan dan kita boleh lihat pada Kejohanan All England.
“Selain itu, keberanian BAM mempertaruhkan pelapis muda menunjukkan negara tidak ketandusan pemain yang boleh memberi saingan di peringkat lebih tinggi bukan hanya Sukan Olimpik malah Piala Thomas dan Piala Sudirman,” ujar Reezal Merican. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Menteri Belia Dan Sukan, don’t count them chick before it hatch. Just because ZJ won All England doesn’t mean he will win Olympic medals.
Coach need to access his progress and mental strength first. Maybe he is peak during AE.
Don’t celebrate too much. ZJ need to control his mental strength.
Most Malaysian athelic won medals in competition will lose their next.
Just beware.