KUALA LUMPUR – Pemain pertahanan Terengganu FC (TFC), Arif Fadzilah dipanggil bagi menyertai kem pusat skuad kebangsaan bermula semalam di Johor.

Arif dipanggil bagi menggantikan pemain pertahanan Sri Pahang, Fadzly Mazlan yang mengalami kecederaan sekaligus menjadi pemain ke-29 yang disenaraikan oleh ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe sebagai persiapan menghadapi baki aksi kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Pemain pertahanan kiri berusia 24 tahun itu menampilkan prestasi memberangsangkan dalam saingan Liga Super setakat ini apabila dia menjadi pilihan ketua jurulatih pasukan, Nafuzi Zain bagi membarisi kesebelasan utama.

Setakat lima perlawanan liga, TFC meraih tiga kemenangan, satu seri dan satu kekalahan dimana kini mereka menduduki tangga kedua, satu mata dibezakan dengan pendahulu iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT).

Selain Arif, dua lagi pemain TFC yang dipanggil bagi menyertai kem latihan pusat kali ini ialah pemain sayap, Faisal Halim dan penjaga gol, Rahadiazli Rahalim. – MalaysiaGazette