Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Seramai 3,428 warga asing telah menjalani ujian saringan dan daripada jumlah itu, 11 orang didapati positif Covid-19 setakat semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 644,425 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 yang melibatkan 33,440 majikan.

“Menurut Kementerian Sumber Manusia (KSM), daripada jumlah itu, seramai 9,971 orang telah disahkan positif Covid-19 manakala 634,454 lagi adalah negatif.

“Sehingga kini, sebanyak 1,534 buah klinik telah terlibat dengan program saringan ini.

“Ujian saringan Covid-19 adalah diwajibkan kepada semua pekerja warga asing mulai 1 Februari 2021,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, anggota Penguatkuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) melakukan 25 pemeriksaan tapak binaan di seluruh negara, semalam.

“Pemeriksaan mendapati 24 tapak binaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP), manakala satu lagi diarahkan tutup.

“Secara keseluruhannya, CIDB telah melakukan 16,322 pemeriksaan melibatkan 9,236 tapak binaan sejak 20 April 2020,” katanya lagi. – MalaysiaGazette