Muhammad Sanusi Md Nor-. Foto SYAFIQ AMBAK

ALOR SETAR – Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia yang berjaya merangkul kejuaraan badminton All England pada Ahad lalu, bakal menerima imbuhan daripada kerajaan negeri Kedah.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, bentuk imbuhan itu bagaimanapun masih dalam pertimbangan, manakala majlis khas untuk meraikan anak kelahiran Kedah itu akan diadakan selepas Zii Jia tamat tempoh kuarantin setelah pulang dari luar negara.

“Kita akan hargai sumbangan Lee Zii Jia, sangat bangga dengan pencapaian beliau yang masih muda baru berusia 23 tahun,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi menyifatkan Zii Jia layak menjadi contoh buat semua keluarga di negara ini kerana kejayaan setiap anak-anak bergantung kepada sokongan kuat daripada keluarga sendiri.

“Beliau ada ciri-ciri sokongan keluarga yang kuat dan saya rasa faktor kekeluargaan kuat inilah akan membantu kejayaan anak-anak.

“Ibu bapa ada anak-anak mempunyai kemahiran sukan perlu beri galakan dan sokongan moral agar anak-anak berjaya dan Zii Jia contoh yang mendapat sokongan jitu keluarga dan punyai tahap disiplin tinggi dalam latihan dan kejohanan,” katanya.

Pada aksi final di Utilia Arena Birmingham, Zii Jia menamatkan penantian Malaysia selama empat tahun untuk meraih gelaran All England, selepas menewaskan Viktor Axelsen dari Denmark 30-29, 20-22 dan 21-9. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast