Lee Zii Jia. Foto Ihsan Facebook Persatuan Badminton Malaysia.

KUALA LUMPUR – Ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) terbaharu menyaksikan pemain perseorangan utama badminton negara, Lee Zii Jia meningkat dua anak tangga ke tangga kelapan.

Menurut laman sesawang rasmi BWF, https://bwfbadminton.com, pemain berusia 22 tahun itu memperoleh 12,000 mata dalam Kejohanan Seluruh England yang dimenangi Ahad lalu sekaligus mengumpul 69,389 mata daripada 25 pertandingan disertainya.

Ia ranking terbaik dalam kerjayanya selepas termasuk dalam kedudukan 10 teratas sejak Mac tahun lalu

Kemenangan di Arena Utilita, Birmingham berjaya membantu anak kelahiran Alor Star, Kedah itu memintas Angus Ng Ka Long dari Hong Kong (69,270 mata) dan Wang Tzu-wei dari Taiwan (63,393 mata).

Zii Jia memenangi Kejohanan Seluruh England selepas menumpaskan Viktor Axelsen dari Denmark, 30-29, 20-22, 21-9.

Sementara itu, bintang Jepun Kento Momota kekal nombor satu dunia dengan 109,118 mata daripada 15 kejohanan, termasuk 6,600 mata daripada pertandingan berprestij Seluruh England walaupun tewas 16-21 dan 19-21 di tangan Zii Jia dalam perlawanan suku akhir.

Jaguh Denmark Axelsen (98,486) dan Anders Antonsen (94,875) juga kekal dalam kelompok tiga teratas.

Juara beregu wanita dalam Terbuka Switzerland Pearly Tan – M Thinaah juga menokok tiga anak tangga, selepas memperoleh 6,000 mata setelah mara ke suku akhir Seluruh England untuk berada di tangga ke-19 dunia dengan 47,015 mata.

Dalam kategori perseorangan wanita, Soniia Cheah (38,931 mata) menurun satu anak tangga ke tangga 33 sementara S Kisona (25,184 mata) naik dua anak tangga untuk berada di ranking ke-60.

Beregu campuran Tan Kian Meng-Lai Pei Jing juga menokok satu anak tangga ke kedudukan ke-11 dunia dengan 62,770 mata. – MalaysiaGazette