Gambar hiasan

KANGAR – Seorang kakitangan mahkamah syariah direman selama dua hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan rasuah berkaitan proses permohonan pengesahan sabitan nasab.

Perintah reman hingga 26 Mac itu dikeluarkan Majistret Kamaliza Md Zain di Mahkamah Kangar hari ini yang membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Suspek ditahan selepas memberi keterangan di Pejabat SPRM Perlis kira-kira 5.30 petang semalam.

Menurut sumber, kakitangan mahkamah syariah dengan gred 29 berusia 41 tahun itu menerima suapan berjumlah RM5,500 sebagai dorongan untuk melancarkan proses permohonan pengesahan sabitan nasab.

Menurut sumber tersebut, berdasarkan semakan transaksi, kakitangan terbabit telah menerima RM3,000 pada Rabu minggu lepas.

— BERNAMA