Datuk Mior Faridalathrash menyampaikan cenderahati kepada Presiden Kelab Sukan dan Kebajikan Media Perak, Rosli Mansor pada Majlis Sepetang Bersama Media di Mes Pegawai Kanan Ipoh di sini hari ini.

IPOH – Tindakan kompaun RM10,000 dilihat meningkatkan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan orang awam di sekitar negeri Perak.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya tidak menolak kadar kompaun itu menjadi faktor susulan jumlah kompaun ketika Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) menurun mendadak berbanding tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Ketika PKPB sebanyak 347 kompaun dikeluarkan manakala bagi tempoh PKPP bermula 19 Mac hingga semalam hanya 46 kompaun dikeluarkan, sekali gus menjadikan tahap pematuhan SOP di Perak adalah sebanyak 96 peratus.

“Perbezaan angka ini menunjukkan satu petanda positif bahawa orang ramai semakin patuh terhadap aturan SOP bagi mencegah wabak Covid-19.

“Selain itu, kita juga lihat trend jangkitan semakin berkurangan dan kita percaya ia disebabkan tahap kepatuhan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sepetang Bersama Media Perak Sempena Peringatan Hari Polis ke-214 di Mes Pegawai Kanan Polis di sini hari ini.

Menurut Mior Faridalathrash, dalam tempoh PKPP, sebanyak 28 lokasi sekatan jalan raya telah diadakan di sekitar Perak.

“Suka saya ingatkan bahawa rentas negeri masih tidak dibenarkan dan sesiapa yang mempunyai urusan penting perlu mendapatkan kebenaran polis terlebih dahulu,” ujar beliau.

Dalam perkembangan lain, Mior Faridalathrash memberitahu sehingga Selasa lalu seramai 7,790 anggota dan pegawai polis di seluruh Perak telah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19. – MalaysiaGazette