Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ketika menghadiri sidang media sempena sambutan peringatan Hari Polis ke-214 di Dewan Jubli Perak, Kuantan

KUANTAN – Usaha memudahkan rakyat Pahang mendaftar Sistem Imunisasi Covid-19 Pahang (SICP) dipergiatkan oleh Kerajaan Negeri Pahang dengan mengambil inisiatif menggerakkan Majlis Tindakan Sosial Pahang.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, SICP merupakan aplikasi yang dibangunkan oleh kerajaan negeri bagi membolehkan rakyat mendaftarkan permohonan vaksin Covid-19.

Menurutnya, bagi melancarkan proses pendaftaran, kakitangan dan pegawai agensi berkenaan akan ditempatkan di lokaliti tumpuan ramai.

Katanya, kerajaan negeri mensasarkan sebanyak 70 peratus pendaftaran SICP berbanding melalui aplikasi MySejahtera.

”Kerajaan Negeri telah menggerakkan Majlis Tindakan Sosial Pahang supaya mendaftarkan mereka. Ia juga salah satu cara untuk mempercepatkan proses pendaftaran vaksin bagi rakyat Pahang.

”Kita tempatkan pegawai ataupun kakitangan kita di tempat-tempat tertentu seperti di Pekan Sari contohnya, ataupun di tempat-tempat yang ada program,” kata Wan Rosdy.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menghadiri Majlis Peringatan Hari Polis ke-214 bagi Kontinjen Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan bersama lebih 300 anggota.

Ini bermakna kerajaan negeri tidak menunggu rakyat Pahang datang mendaftar sendiri sebaliknya kerajaan negeri yang akanĀ  pergi kepada mereka untuk mendaftar, jelas beliau.

Tambahnya, inisiatif itu dibuat sebagai tanggungjawab kerajaan negeri dalam memastikan kesihatan rakyat terjamin.

Setakat ini, seramai 3,923 anggota polis daripada 5,422 orang telah menderima suntikan Covid-19 dalam Program Imunisasi Covid -19 bagi fasa 1 pada 6 Mac lalu. – MalaysiaGazette