Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) didesak agar memberikan hak mengundi serta-merta kepada warganegara Malaysia yang berusia 18 hingga 20 tahun.

Desakan itu dibuat oleh Persatuan Pengundi Muda susulan kenyataan SPR yang memaklumkan pendaftaran pemilih automatik dan Undi18 dijangka hanya akan dilaksanakan selepas 1 September
2022.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh dalam kenyataannya memberi alasan pelbagai kekangan dan isu yang dihadapi oleh badan tersebut, termasuklah perkembangan dan situasi semasa negara yang masih lagi berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lalu.

Menurut persatuan itu, walaupun Pindaan Perlembagaan Undi18 telah mendapat sokongan sebulat suara dari ahli-ahli Parlimen, termasuk Perdana Menteri, namun pelaksanaan perlembagaan
Undi18 telah sengaja dilengah-lengahkan.

”Pihak SPR juga ada menyatakan bahawa jumlah warganegara Malaysia yang berumur 18 hingga 20 tahun hanya seramai 1.2 juta orang, berbanding 4.4 juta yang berumur 21 tahun
dan ke atas.

”Kami berpendapat bahawa kenyataan SPR ini seakan-akan memberikan persepsi bahawa hak mengundi mereka yang berusia bawah 21 tahun tidak bernilai dan bahawa bilangan mereka terlalu sedikit untuk mengubah lanskap politik negara,” katanya.

Sedangkan menurutnya, setiap undi amat bermakna buat demokrasi negara, jadi penangguhan hak ini hanya akan menjejaskan semangat anak muda untuk terus membabitkan diri dalam pemulihan sistem demokrasi Malaysia.

”Kami sedia maklum bahawa pindaan Perkara 119(1) juga melibatkan pendaftaran pemilih secara automatik dan turut berpendapat bahawa SPR boleh mengambil masa yang lebih lama bagi menyiapkan pelaksanaan pendaftaran pemilih secara automatik jika perlu.

”Walau bagaimanapun, mereka yang berusia 18 hingga 20 tahun perlu dibenarkan untuk mendaftar bagi mengundi dengan segera, selaras dengan garis masa asal untuk melaksanakan Undi18,” ujarnya.

Persatuan itu turut mendesak agar Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan komitmen beliau terhadap pelaksanaan penurunan umur mengundi Malaysia mengikut garis masa yang telah
ditentukan di Kabinet dan juga telah diundi oleh beliau selaku Ahli Parlimen.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast