KUALA LUMPUR – Hobi mengubahsuai kenderaan dengan pelbagai aksesori menyebabkan segelintir pihak mengambil risiko melanggar peraturan sehingga mempertaruhkan nyawa orang lain di jalan raya.
Itu situasi senario yang berlaku dalam kalangan penunggang motosikal yang dicekup kerana mengubahsuai kenderaan termasuk ekzos bising dan aksesori yang dilarang pihak berkuasa.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur, Mohd Zaki Ismail berkata, golongan itu mempunyai tanggapan hobi dan minat mendalam ubahsuai aksesori kenderaan mengatasi segalanya-galanya.
“Penggunaan lampu high intensity discharged (HID) yang dipasang secara aksesori dengan kuasa melebihi standard ditetapkan boleh menganggu penglihatan sekali gus memudaratkan pengguna jalan raya lain.
“Pengguna kenderaan yang suka mengubahsuai aksesori tidak peduli mengenai nyawa lain dan yang penting hobi dan keseronokan mereka tercapai walaupun tahu ia salah di sisi undang-undang,” katanya dalam operasi bersepadu yang dijalankan di Jalan Cheras berdekatan Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Taman Mutiara, Cheras di sini tengah malam tadi.
Operasi Bersepadu yang bermula jam 9 malam itu melibatkan seramai 133 pegawai dan anggota JPJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Pudpakom).
Tambah Mohd Zaki, tindakan penguatkuasaan yang dilakukan JPJ bersama polis dan agensi keselamatan lain ini perlu untuk mendisiplinkan pemandu kenderaan termasuk penunggang motosikal bagi memastikan semua pengguna jalan raya berada dalam keadaan selamat.
Beliau juga mengingatkan masyarakat khususnya pengguna jalan raya setiap peraturan dan undang-undang bukan untuk menghukum sesiapa sahaja sesuka hati secara membuta tuli.
“Itu bukan niat kami sebaliknya penguatkuasaan ini bertujuan untuk meningkatkan tahap keselamatan di atas jalan raya demi melindungi nyawa semua pengguna termasuk juga penunggang motosikal dan pemandu kenderaan yang berdegil dan mengubahsuai aksesori terlarang iaitu lampu dan ekzos bising.
“Advokasi dan khidmat nasihat oleh anggota bertugas turut dilakukan supaya pengguna tanpa beremosi dan marah dengan sekatan jalan ini dapat memahami setiap peraturan dan sedar undang-undang berkenaan sebenarnya untuk menyelamatkan mereka,” katanya lagi.
Dalam operasi itu, ujar Mohd Zaki, sebanyak 1,750 kenderaan telah diperiksa manakala 197 daripadanya dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan dan sebanyak 365 notis dikeluarkan.
“Membawa kenderaan tanpa lesen memandu dikesan sebagai kesalahan tertinggi iaitu 170 saman dikeluarkan diikuiti nombor pendaftaran fancy melibatkan 76 saman serta tiada lesen kenderaan motor LKM sebanyak 67 saman.
“Selain itu, dalam operasi saman 10 individu ditahan kerana diuji positif dadah hasil saringan ujian air kencing.
“Malah dua individu warga Myanmar turut ditahan kerana tidak memiliki dokumen dan dirujuk kepada Imigresen untuk tindakan di bawah Akta Imigresen 1959/63,” kata Mohd Zaki.-MalaysiaGazette
Maaf lah tuan JPJ. Banyak lagi lori dan bas yg korbankan nyawa org tp berapa banyak operasi banteras besar besaran yg JPJ buat? Lori dan bas brake gagal, pemandu yg korang p buat urine test bagai. Tak bolehkah buat akta supaya pemilik kenderaan berat perlu bertanggungjawab dan didakwa jika lori/bas kemalangan akibat kegagalan sistem? Sistem brake dan tayar perlu diperiksa dan ganti cukup tempoh. Jika kemalangan, semak rekod pembaikan. Jika tak ikut tempoh, dakwa di mahkamah.
Setakat periksa Puspakom tiap tahun tak cukup. Asik asik cari pengguna kecik2 ni.