Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan berucap pada Persidangan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MALAYSIA GAZETTE, 27 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – UMNO yang menerajui Barisan Nasional (BN) perlu keluar daripada bayangan  ‘penyanyi latar’ dalam kerajaan, kata Ketua Pergerakan Puterinya, Datuk Zahida Zarik Khan.

Beliau berkata, walaupun UMNO menganggotai Kabinet Perikatan Nasional (PN) namun parti itu lebih layak untuk mengepalai pentadbiran Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kelak.

“Kita mahu mereka (menteri UMNO) bukan sahaja terus menjadi penyumbang kepada negara bahkan dinaikan ke martabat yang lebih tinggi. Syaratnya, kerajaan yang memerintah
mestilah kerajaan yang diterajui oleh UMNO dan BN.

“Kita tidak mahu sekadar berada di pentas yang sama tetapi hanya sebagai penyanyi latar. UMNO parti besar, mesti menjadi pemain utama dalam menentukan dasar dan masa depan negara,” katanya dalam ucapan dasar pergerakan sayap UMNO itu pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2020) di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Justeru itu, Zahida Zarik berkata, UMNO perlu kekal dalam menolak kerjasama dengan mana-mana parti sama ada PKR dan DAP malah dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRU-15 kelak.

Menurutnya, segenap lapisan ahli-ahli UMNO tidak perlu mempersoalkan pendirian yang telah diambil untuk menolak kerjasama dengan ketiga-tiga parti itu.

“Kita tahu tujuan asal PPBM memang untuk musnahkan kita. Cuma sekarang mereka sudah kehilangan baja dan sangat mengharapkan UMNO menjadi baja untuk mereka hidup dan subur kembali.

“Apakah kita perlu menjadi baja kepada pokok dedalu parasit, yang menumpang kita dan kita tahu pasti akan membunuh kita di masa depan? No PPBM, No DAP, No PKR,” katanya dan mendapat tepukan gemuruh daripada perwakilan sayap UMNO itu.

Dalam pada itu, Zahida juga mengkritik tindakan lompat parti ahli-ahli Parlimen yang dahulunya menang atas tiket UMNO dan BN.

Jelas beliau, ia tetap salah biar pun tidak ada undang-undang yang dapat mencegah perbuatan tersebut dan rakyat sahaja yang boleh menghukum mereka pada PRU-15.

“Benar, undang-undang tak boleh hukum mereka. Yang boleh hukum mereka ialah rakyat. Rakyat mesti sepakat mencemuh tindakan tidak bermoral mereka. Mengkhianati mandat rakyat adalah tidak bermoral.

“Membelakangkan kehendak rakyat adalah satu pengkianatan yang mesti ditentang. Lompatlah sejauh mana. Peganglah jawatan setinggi mana, tetapi anda tetap tidak
bermoral,” katanya lagi.

UMNO selepas PRU-14 lalu kehilangan 15 kerusi Parlimen apabila kesemua mereka bertindak keluar parti dan menyertai Bersatu, ujarnya.

Antara 15 kerusi itu ialah Parlimen Jeli, Tanah Merah, Larut, Mersing, Hulu Terengganu, Masjid Tanah, Beluran, Bagan Serai, Tasek Gelugor, Bukit Gantang, Beuafort, Sabak Bernam, Libaran, Sipitang dan Kudat. – MalaysiaGazette